Madraf telah meriwayatkan daripada As-Sya'syi bahawa Umar r.a. telah keluar untuk solat Al-Istisqa' (solat minta hujan) bersama orang ramai. Dia tidak menambah apa-apa selain dari istighfar sehingga orang ramai berkata kepadanya,
"Kami tidak mendengar apa-apa dari tuan memohon hujan."
Umar r.a. berkata: "Aku memohon hujan dengan bintang di langit dengannya dipohon turunnya titisan-titisan."
Kemudian beliau membaca ayat AlQuran (Nuh: 10-11) yang bererti:
"Hendaklah kamu memohon ampun kepada Tuhanmu sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Dia akan menghantar kepada kamu hujan dengan lebat."
Al-Imam Al-Hasan Al-Basri telah membimbing ke arah istighfar setiap kali ditimpa kegersangan dan kemarau, kefakiran, kekurangan keturunan dan kegersangan kebun-kebun.
Seorang lelaki telah mengadu kepada Al-Imam Al-Hasan Al-Basri tentang kemarau lalu Al-Imam Al-Hasan telah berkata kepada lelaki itu, "beristighfarlah kamu kepada Allah."
Begitu juga seorang lelaki lain telah mengadu kepadanya tentang kefakirannya, beliaupun berkata kepada lelaki itu; "Mintalah ampun kepada Allah (istighfar)."
Seorang lelaki telah berkata kepadanya; "Doakanlah untukku agar Allah mengurniakan anak kepadaku." Beliau berkata kepada lelaki itu; "Beristighfarlah kepada Allah."
Seorang yang lain mengadu tentang kegersangan kebun-kebunnya. Al-Imam Al-Hasan pun berkata padanya: "Beristighfarlah kepada Allah."
Al-Imam Al-Hasan berkata: "Aku tidak berkata-kata apa-apapun dari pendapatku sendiri bahkan sesungguhnya Allah SWT telah berfirman dalam surah Nuh:
"Hendaklah kamu memohon ampun kepada Tuhanmu sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Dia akan menghantar kepada kamu hujan dengan lebat. Dan memperbanyakkan harta dan anak-anak dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai." (Nuh: 10-12)
Begitu juga firman Allah SWT dalam kisah dakwah Hud a.s. dan perintahnya ke atas kaumnya agar mereka beristighfar:
"Dan (dia) berkata: "Hai kaumku, mohonlah ampun kepada Tuhanmu lalu bertaubatlah kepadaNya, niscaya Dia akan menurunkan hujan yang sangat deras atas kamu dan Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatanmu dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa."(Hud: 52)
Begitu juga firman Allah SWT:
"Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepadaNya. (Jika kamu mengerjakanyang demikian), nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (terus menerus) kepadamu sampai kepada waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberi kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan) keutamaannya. Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa siksa pada hari kiamat." (Hud: 3)
Al-Imam Al-Qurthuby telah berkata dalam tafsirnya: "Ini adalah buah kepada istighfar dan taubat, di mana Allah akan memberikan kepada kamu kenikmatan yang baik dari keluasan rezki dan hidup yang makmur. Dia tidak memusnahkan kamu dengan azab sebagaimana yang dilakukanNya ke atas orang-orang yang terdahulu dari kamu."
Telah datang janji dari Allah SWT ini dalam tertib mengikut syaratnya. As-Syeikh Muhammad Al-Amin As-Syanqhaidhi: "Ayat yang mulia ini menunjukkan bahawa istighfar dan taubat kepada Allah SWT dari dosa-dosa adalah sebab agar Allah SWT memberikan kesenangan kepada orang yang berbuat sedemikian dengan kesenangan yang baik hinggalah ke tempoh yang ditetapkan. Inilah disebabkan Allah SWT menetapkan sedemikian itu atas syarat istighfar dan taubat. Maka ganjaran Allah SWT bergantung kepada sejauh mana syarat ini dipenuhi.
Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, An-Nisaa'ei, Ibnu Majah dan Al-Hakim daripada Abdullah bin Abbas r.anhuma katanya, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
"Barangsiapa memperbanyakkan istighfar, Allah akan melepaskan segala kesulitannya, menjadikan jalan keluar bagi kesempitannya dan mengurniakannya rezki dari sumber-sumber yang tidak diketahui."
Sebagaimana kata As-Syeikh Abu Thayyib Al-'Adzhim Abadi memperbanyakkan istighfar ketika munculnya maksiat dan lahirnya bala atau barangsiapa yang beristiqamah dengannya lantaran setiap orang itu berhajat kepadanya. Atas sebab itu Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
"Kebahagiaan bagi orang yang ditemui dalam buku catatan amalannya istighfar yang banyak." (Riwayat Ibnu Majah dengan isnad hasan sahih)
Oleh yang demikian hendaklah orang yang inginkan rezeki bersegera memperbanyakkan istighfar dengan perkataan dan perbuatan. Akan tetapi jauhilah dari perbuatan yang hanya beristighfar dengan lisan tetapi tidak mengikuti dengan perbuatan kerana sesungguhnya ia adalah perbuatan orang-orang yang berdusta.
"Wahai Allah sesungguhnya aku memohon keampunan-Mu bagi setiap dosa yang telah melalaikanku dari apa yang telah tunjuki Engkau atau perintahkan aku me-lakukannya atau melarang aku melakukannya atau yang telah Engkau tunjukkan padaku kepadanya yang mengandungi bahagianku dan menyampaikanku kepada keredhaanMu dan mengikuti kasih sayangMu dan kehampiran kepadaMu. Maka kurniakanlah rahmat dan kesejahteraanMu dan berkatilah penghulu kami Muhammad, ahli keluarganya dan ampunilah baginda wahai yang sebaik-baik pengampun."
Ertinya:
"Wahai Allah, sesungguhnya aku memohon keampunanMu bagi setiap dosa yang aku lupa mengenainya, sedangkan Engkau menghitungnya, aku pula meringan-ringankannya. Engkau telah menetapkannya (dalam catatan amalan) sedangkan aku memperagakannya namun Engkau telah menutupnya bagi diriku dan sekiranya aku bertaubat kepadaMu, Engkau pasti mengampuniku. Maka kurniakanlah rahmat dan kesejahteraanMu dan berkatilah penghulu kami Muhammad, ahli keluarganya dan ampunilah baginda wahai yang sebaik-baik pengampun."
No comments:
Post a Comment