Thursday, January 21, 2010

Kisah Nabi Muhammad dengan Pendeta Yahudi

Ketika Nabi (s.a.w.) sampai di Madinah, baginda telah didatangi oleh Abdullah bin Suria - salah seorang pendeta Yahudi yang bertanya: "Ya Muhammad! Bagaimana cara engkau tidur, aku ingin hendak tahu adakah serupa dengan yang tersebut dalam kitab kami yang menceritakan perihal Nabi akhir zaman?"

Dijawab oleh baginda; "Mataku yang tidur tetapi hatiku tidak tidur."

Maka dijawab pula oleh Abdullah bin Suria: "Benar engkau ya Muhammad. Sekarang khabarkan pula kepada kami, bagaimana tentang kejadian kanak-kanak. Adakah kanak-kanak itu terbit dari pihak orang lelaki atau terbit daripihak orang perempuan?"

Baginda menjawab: "Adapun yang merupakan tulang, urat dan tulangnya yang lembut terbit daripihak orang lelaki. Sedang daging, darah, kuku dan rambutnya terbit dari pihak orang perempuan."

Maka ujar orang Yahudi itu: "Benar. Dan bagaimana pula halnya kanak-kanak itu mirip (menyerupai) pihak bapanya tidak pihak emaknya, atau menyerupai pihak emaknya tidak pihak bapanya?"

Maka dijawab oleh baginda: "Air lelaki itu putih pekat, sedang air perempuan kekuningan cair. Yang mana satu di antara kedua airya yang iebih kuat dari yang lain, maka si anak itu akan lebih hampir menyerupainya."

Pendeta itu pun berkata: "Benar. Maka khabarkanlah pula apa jenis makanan yang diharamkan oleh Israel ke atas dirinya untuk memakannya. Ada disebut dalam Taurat- Seorang Nabi yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis) dapat menceritakannya."

Maka dijawab oleh Nabi s.a.w. "Demi yang menurunkan kitab Taurat kepada Musa, adakah kamu tahu bahawa Israel ketika kuat sakitnya dan lama menghidapnya, ia telah bernazar kepada Allah - sekiranya Allah menyembuhkannya - nescaya ia akan mengharamkan ke atas dirinya, tidak akan memakan sebaik-baik makanan dan tidak akan meminum sebaik-baik minuman, yang kedua-duanya sangat disukainya iaitu daging unta dan susunya?"

Maka dijawab oleh pendeta Yahudi Itu: "Benar. Sungguh benar. Maka sekarang tinggal lagi satu yang hendak kutanyakan kepadamu. Semua pertanyaan telah engkau jawab dengan betul Sekiranya yang satu ini nanti menepati, nescaya kami beriman dengan engkau. Iaitu: "Siapakah malaikat yang datang kepada engkau?"

Maka dijawab oleh baginda: "Itulah malaikat Jibril namanya."

Apabila mendengar sahaja nama malaikat Jibril itu, lalu ia berkata: "Oh, itu seteru kami. Dia membawa kebinasaan dan kesusahan. Tetapi Mikail membawa kemakmuran dan kesenangan. Kalaulah Mikail yang datang kepada engkau kami mahu beriman kepada engkau."

Demikian kata pendeta Yahudi itu dengan cara yang kecewa dan tidak mahu beriman dengan Nabi (s.a.w.), padahal semua masalah yang dikemukakan telah berjawab dengan betui, tetapi kerana dengki dan busuk hatinya ia tetap mengingkarinya, di samping itu malaikat Jibril pula dimusuhinya. Oleh itu, Allah turunkan ayat 97 Surah AlBaqarah.

"Katakanlah (ya Muhammad); barangsiapa yang menjadi seteru Jibril maka bahawasanya Jibril itu menurunkan Quran ke dalam hati engkau dengan izin Allah, sedang ia (Quran) membenarkan kitab yang sebelumnya, dan ia memberi pertunjuk dan memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman".

No comments: