Wednesday, February 13, 2013

Sherrina Nur Elena v Kent Well Edar Sdn Bhd

Sherrina Nur Elena v Kent Well Edar Sdn Bhd (K22-187-2009)

Plaintif adalah pemenang pertandingan ratu kecantikan antara tahun 1992 dan 1994 dan telah pernah memenangi gelaran ratu dan beberapa anugerah lain. Pada bulan November 2008, beliau mendapati bahawa gambar beliau semasa memasuki suatu pertandingan telah digunakan pada pembungkusan produk milik Defendan dalam kes ini dan gambar beliau juga dipaparkan di papan iklan yang besar di Kota Kinabalu.

Plaintif mendakwa bahawa dia adalah pemilik yang sah gambar tersebut dan mendakwa bahawa Defendan telah melanggar privasi dan melanggar hak cipta dengan menggunakan gambar beliau untuk tujuan komersil tanpa keizinan beliau. Plaintif juga mendakwa bahawa tindakan Defendan telah menjejaskan antara lain reputasi beliau dan memohon gantirugi sebanyak RM1 juta daripada Defendan dan juga menuntut ganti rugi teladan untuk ditaksirkan oleh mahkamah.

Defendan menafikan liabiliti dan sebaliknya mendakwa bahawa hak cipta kepada gambar itu dimiliki oleh penganjur pertandingan kecantikan atau jurugambar yang mengambil gambar tersebut, dan ianya bukan hakcipta milik Plaintif. Defendan juga mendakwa bahawa Plaintif tidak mempunyai kausa tindakan untuk mengekalkan tindakan ini kerana tidak mempunyai locus standi.

Diputuskan oleh Mahkamah bahawa : Di bawah Akta Hakcipta 1987, kerja-kerja seni layak mendapat perlindungan hakcipta dan gambar foto dianggap tergolong sebagai karya seni. Walau bagaimanapun, orang yang mencipta/mengambil gambar adalah pemilik hakcipta. Defendan bukan jurugambar dan dia tidak dapat membuktikan pemilikan gambar. Tambahan pula, tidak ada isu pencerobohan privasi kerana gambar itu diambil di tempat awam di mana Plaintif adalah seorang peserta sukarela. Gambar tersebut adalah dalam domain awam dan tidak boleh terjumlah kepada pencerobohan privasi. Tambahan pula gambar tersebut telah disiarkan di akhbar selepas tamat pertandingan dan juga dalam buku pelancongan Negeri Sabah.

Maksudnya: siapa yang ambil gambar, hakcipta gambar itu adalah milik jurugambar (melainkan sekiranya jurugambar mempunyai kontrak kerja yakni diupah untuk mengambil gambar).

No comments: