Popular Posts

Friday, August 22, 2008

Faktor Anwar

Nurshumiza Yusof, 1987. Penerbitan Matahari, Kuala Lumpur M/s 61-86 (gambar-gambar tidak disertakan)

FAKTOR ANWAR

Kalau hendak dikira dendam, Anwarlah yang seharusnya paling mendendami Dr. Mahathir. Tetapi sebaliknya mengapakah Anwar bersedia bersekongkol di dalam kabinet Mahathir? Sehingga Anwar dicap sebagai jurucakap Mahathir. Ada juga yang menyatakan Anwar sudah dibeli oleh Maha­thir. Pada mula ia menyertai UMNO, Anwar dikatakan juga sudah masuk perangkap Mahathir. Anwar yang dulunya lantang kononnya sudah dijinakkan atau harimau yang sudah dikambingkan. Sejak awal hingga kini Anwar terus menjadi perhatian umum dengan berbagai sudut dan cara penilian. Ada yang menilai dari kacamata yang positif, negatif dan tak kurang yang menilai dengan nada sinis serta irihati.

Anwar dikatakan naik terlalu laju, tak ikut tangga, masuk ikut tingkap, masih baru dalam UMNO, lebih PAS dari PAS, gila dan ghairahkan kuasa, tunggulah dulu kerana belum cukup umur dan segala macam kata-kata lagi yang diluah dengan nada kurang senang.

Mendadaknya Anwar menjangkau tingkat yang ada sekarang bukan kerana semata-mata ia mempunyai hubungan yang rapat dengan Dr. Mahathir, atau dengan menjadi anak didik Dr. Mahathir, Anwar sewenang-wenangnya mudah naik dalam UMNO. Ahli-ahli UMNOlah yang menjadi hakim untuk menilai kemampuan Anwar. Kesemuanya telah mereka buktikan di dalam tiga pertandingan bagi merebut jawatan Ketua Pemuda - Anwar menang malahan undinya semakin mantap di pertandingan tahun lalu apabila ia mengalahkan anak singa UMNO - Syed Hamid dengan majoriti yang besar. Memang Dr. Mahathir amat menyenangi Anwar tetapi bukan kerana nama Anwar. Hubungan mereka sebenarnya mempunyai sejarah yang panjang. Sejak Anwar di kampus

Universiti Malaya lagi sudah mengenali Dr. Mahathir. Apatah lagi di saat Mahathir yang ketika itu tersingkir dari UMNO akibat berkrisis dengan Tunku Abdul Rahman dan secara kebetulan Anwar juga tidak senang dengan kerajaan pimpi-nan Tunku, maka mereka, berkawan dalam menghadapi ma-salah yang sama.

Kemesraan ini berubah setelah Mahathir' diterima semula menyertai UMNO. Anwar yang terkenal dengan kelantangan-nya terus mengkritik kerajaan. Kali ini bukan melalui plat­form pemimpin pelajar sebaliknya tiket PKPIM (persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia) dan ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) yang ditubuhkan" dalam tahun 1971. Turut serta dalam penubuhan ABIM ialah Sanusi Junid.

Dr. Mahathir yang outspoken ketika menjadi Menteri Pelajaran sering membuat kenyataan yang kontrovesal khusus-nya dalam menanggapi kegiatan dan pergerakan Islam di bawah pemimpinan Anwar. Bagi Anwar ketika itu Dr. Maha­thir adalah seorang yang anti Islam.

Puncak ketegangan hubungan Anwar-Mahathir ialah peris-tiwa tunjuk perasaan pelajar 1974. Anwar telah direhatkan di bawah ISA selama dua puluh satu bulan dengan sembilan tuduhan termasuk usahanya untuk menubuhkan Universiti Islam. Dr. Mahathir dikatakan orang dalam kabinet yang paling kuat menyokong penangkapan Anwar. Malahan se-waktu kabinet memutuskan untuk melepaskan Anwar, Dr. Mahathir dikatakan orang yang mahukan tahanan itu dilan-jutkan sepenggal lagi.

Salah satu anugerah Allah s.w.t. kepada Anwar selain dari-pada karisma kepimpinannya, Anwar bukan seorang pendendam. la mampu berhadapan dengan musuh atau orang yang terang-terang tidak menyenanginya dengan air muka yang tenang.

Sebab itulah tidak berapa lama setelah dibebaskan Anwar tanpa rasa dendam ia mengunjungi Dr. Mahathir di pejabat. Pertemuan awal ini agak kurang mesra kerana saling sindir menyindir, mungkin kebetulan Anwar membawa teman bersama. Dr. Mahathir agak kurang senang dalam keadaan ada orang lain mendengar Anwar menyindirnya.

Namun demikian dalam beberapa siri pertemuan selanjutnya sikap Dr. Mahathir sudah berubah. Beberapa persoalan peribadinya mula diluahkan kepada Anwar dan mereka sa­ling mula mencari titik pertemuan. Mungkin mereka merasa-kan. masa untuk berpolimik sudah tamat dan sudah tiba masanya melihat kenyataan bahawa survival masyarakat dan negara harus lebih diutamakan dari segala-galanya.

Sewaktu memimpin ABIM, Anwar tidak semata-mata meng­kritik kerajaan. Sikapnya dan pendirian yang terbuka - ABIM yang menjadi jurubicara umah dalam beberapa keadaan sedia bekerjasama dengan pemerintah. Contohnya di masa Datuk Hussein Onn menjadi Perdana Menteri ABIM telah mengadakan Seminar Dakwah Antarabangsa dengan kerja-sama kerajaan Malaysia.

Pengambilan Anwar Ibrahim menyertai UMNO menjelang Pilihanraya Umum April 1982 meninggalkan beberapa kesan kepada politik Dr. Mahathir. Penyertaan Anwar pula mem-buatkan bekas tokoh ABIM itu mempunyai musuh baru -PAS. Suatu ketika ada ura-ura Anwar akan menggantikan Datuk Asri sebagai Yang DiPertua Agong PAS. Andainya, itu terjadi bererti Anwar akan menjadi pemimpin PAS yang paling berkaliber dan berkesan sejak zaman Dr. Burhanuddin dan Allahyarham Zulkifli Mohamad. Tetapi Anwar memilih untuk menyertai UMNO. Penyertaan ini dibuat ketika Dr. Mahathir masih berkuasa dan baru pula menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Hussein Onn.

Dr. Mahathir membuat tawaran agar Anwar masuk UMNO dan mahukan Anwar melihat realiti politik, masalah Melayu dan Islam serta melaksanakan semangat idealismennya itu. Anwar kemudian memberitahu para wartawan bahawa ta­waran yang dibuat oleh Dr. Mahathir sebagai ikhlas dan bukan jebak atau jerangkap samar yang dipasang oleh Dr. Mahathir.

Di pihak PAS, kecurigaan memuncak kerana merasakan Anwar telah berpaling tadah. Tambahan pula kemasukan Anwar sebulan sebelum pilihanraya umum diadakan. PAS mengira Dr. Mahathir mengambil Anwar semata-mata untuk mengagalkan usaha PAS untuk memerintah negara ini. Dr. Mahathir sedar pengaruh Anwar di kalangan PAS serta belia-belia Islam begitu luas. Dan dengan mengambil Anwar ber­erti menarik mereka ini menyokong UMNO.

Dilihat dari sudut lain tindakannya dianggap memecahkan PAS dari dalam. Ramai yang tertarik dengan kepimpinan Anwar lari meninggalkan PAS. ABIM yang diasaskan oleh Anwar mengalami detik-detik tersendiri bilamana badan belia itu tiba-tiba berpecah menjadi tiga kumpulan - satu menyokong Anwar, satu lagi menyokong PAS (ertinya menentang Anwar) dan golongan neutral.

Bagi Dr. Mahathir, dia ikhlas mengambil Anwar untuk menyertai UMNO kerana dia merasakan Anwar merupakan seorang pemimpin yang ikhlas dan jujur di dalam perjuang-annya. Keikhlasan Dr. Mahathir telah ditunjukkan sejak awal lagi. Setengah jam sebelum sidang akhbar pengumuman penyertaan Anwar ke dalam UMNO, Dr. Mahathir menun-jukkan beberapa telegram daripada beberapa orang tokoh UMNO tertentu yang meminta agar jangan diterima kemasukan Anwar. Malahan Dr. Mahathir amat mengambil berat kedudukan dan keadaan kempen di Permatang Pauh. Semuanya meru­pakan petanda awal yang mematikan spekulasi bahawa peng-ambilan Anwar merupakan jebak Mahathir bagi membunuh karier politik anak muda dari Cherok Tok Kun ini.

Mengambil Anwar bererti Dr. Mahathir memberikan kepercayaan kepada beliau untuk menerapkan idealismenya. Dan tidak syak lagi sejak kemasukan Anwar program dan proses Islamisasi di negara ini semakin subur. Hakikat ini membangkit rasa tidak senang di kalangan tokoh-tokoh tertentu dalam UMNO. Datuk Musa menganggap Anwar ber-lagak lebih PAS dari PAS. Manakala Datuk Rais merasakan Anwar hanya pandai menggunakan hadis untuk mengelabui mata ahli-ahli UMNO.

Manakala kepada PAS terutama orang seperti Subky Latif merasakan Anwar gagal membawa missi Islam ke dalam UMNO. Melihat dari beberapa perkembangan, sejak kemasukan Anwar ke dalam UMNO, Dr. Mahathir nampaknya menun-jukkan keikhlasan di dalam menjanjikan bahawa Anwar boleh meneruskan idealismenya.

Anwar tidak dilantik menjadi menteri penuh sebaliknya bermula dari jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang berpejabat di Pusat Islam. Pusat yang dulunya pernah menyenarai hitamkan nama Anwar dari memberikan ceramah di tempat yang sama sewaktu Anwar mengepalai ABIM. Semasa di jawatan ini Anwar mula menyusun semula pentadbiran beberapa bahagian. la juga menjadi Pengerusi Badan Perunding'Islam yang antara lain telah berjaya menyu­sun semula Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM).

Kesempatan yang diberikan oleh Dr. Mahathir membuka jalan kepada Anwar untuk memperbanyakan lagi program Islam di dalam kerajaan. Puluhan tokoh, pemikir dan ahli profesional Islam dibawa ke Malaysia untuk memberikan nasihat serta pandangan tentang program Islamisasi. Ke-semuanya mendapat restu Dr. Mahathir dari langkah tersebut secara langsung Malaysia tambah dikenali di kalangan negara-Islam.

Perpindahanya ke beberapa Kementerian mematangkan lagi Anwar tentang politik dan pentadbiran. Walaupun pe-mergiannya ke Kementerian Kebudayaan dianggap oleh Subky Latif sebagai tempat sial dan Anwar juga akan beroleh bala tersebut, ternyata tidak berlaku. Demikian sewaktu di Kementerian Pertanian imej Anwar dimomohkan oleh orang-orang PAS sebagai Menteri yang menjaga lembu. Hanya se-telah berada di Kementerian Pelajaran baharulah serangan dari PAS agak reda walaupun orang seperti Subky Latif tidak pernah diam dari terus mengecam dan menyindir Anwar.

Kecaman sebahagian tokoh PAS kepada Anwar sebenarnya mudah difahami - iaitu atas dasar perbezaan fahaman politik dan harapan besar mereka kepada Anwar sewaktu di dalam ABIM agar satu hari kelak menjadi ahli PAS. Sebaliknya Anwar menyertai UMNO.

Di dalam UMNO Anwar menjadi fokus utama terutama di saat pertandingan UMNO menjelang tiba. Setelah tiga kali berjaya melewati jaringan politik melalui pertandingan Ketua Pemuda kini Anwar dihadapkan dengan spekulasi merebut jawatan Naib Presiden UMNO.

Jawatan yang meletakkan seseorang tokoh kepada Top Five setelah Presiden dan Timbalan Presiden. Dengan kata mudah jejak-jejak kepada Timbalan Perdana Menteri dan seterus-nya Perdana Menteri semakin hampir. Walaupun sejarah tidak menjanjikan demikian, namun inilah rukun asas yang harus dilalui sebelum sampai ke puncak.

Kepada golongan yang anti Anwar spekulasi ini sudah cukup untuk membelasahnya dengan fitnah yang kononnya telah dihadiahkan rumah bernilai 3 juga daripada Daim, men­jadi agen CIA dan sebagainya. Tokoh yang dikira sudah lama di dalam UMNO dan bercita-cita besar pula turut menyerang Anwar dengan alasan Anwar masih belum matang dan naik

Segala tomah dan fitnah terhadap Anwar terjawab sendiri-jika didekati cara hidupnya. Sebagai seorang yang punya prinsip dan idealisme, suatu yang ia amat berhati-hati ialah kepentingan ananiah atau mementingkan diri lebih dari yang lain.

Beramal dengan apa yang diucapkan serta berani ber-hadapan dengan kenyataan. Dari pakaiannya orang dapat menilai siapa Anwar sehingga ada yang berangapan, "tak ada baju lain ke! Asyik dengan jaket putih". Mungkin ditiru dari cara Datuk Haji Suhaimi cuma fesyen sahaja berlainan.

Semenjak menjadi menteri belum pernah ia menggunakan kereta rasmi terbaru, hingga kini masih menggunakan kereta peninggalan arwah Datuk Embong Yahya. Walaupun jika ia mahu, ia boleh berbuat demikian setiap kali berpindah ke-menterian. Demikian halnya dengan pejabat - mungkin Anwar bernasib baik setiap kali berpindah, pejabat menteri telah siap diubahsuai oleh menteri sebelumnya.

Keyakinan, kesungguhan dan berperibadi bersih membuat-kan golongan yang tidak menyenangi Anwar tenggelam punca. Walaupun ada pendapat yang menyatakan kriteria tidak kaki perempuan, pemabuk dan kaki judi tidak harus dijadikan asas untuk mencari pemimpin tetapi inilah jaminan kejayaan pemimpin dan golongan yang dipimpin.

Pemimpin yang hidupnya bergelumang dengan maksiat bukan sahaja gagal memimpin dirinya malahan tidak mendatangkan barakah kepada rakyat dan negara.

Oleh kerana tiada ruang untuk mencari keburukan peribadi Anwar, maka ada tokoh UMNO yang mengandaikan konon-nya Anwar mahu mengabimkan UMNO dengan membawa ramai tokoh-tokoh ABIM ke dalam UMNO.

Umumnya semua tahu sebenarnya tidak ramai tokoh ABIM yang menyertai UMNO jika dibandingkan dengan kemasukan ke dalam PAS. Jika adapun kesemuanya terpaksa bekerja berhempas-pulas untuk memenangi jawatan di bahagian tempat mereka aktif. Setakat ini belum ada bekas tokoh ABIM yang menang di beberapa bahagian baru-baru ini di-sebabkan oleh kempen Anwar Ibrahim. Semuanya dinilai oleh ahli-ahli UMNO sendiri yang telahpun matang dan mengenali serta mampu membezakan antara kaca dan intan.

Tindakan yang mengatakan Anwar berlagak lebih PAS dari PAS dan memperalatkan Islam untuk muslihat politik, menimbulkan tanda tanya siapa sebenarnya yang memperalat­kan Islam?

Memang semenjak kehadiran Anwar ke dalam UMNO serta dokongan serious oleh Dr. Mahathir yang mahukan Islam diterapkan ke dalam pentadbiran negara, kebangkitan Islam semakin ketara. Penubuhan Institusi Islam seperti Bank Islam, Universiti Islam, Insuran Islam dan penerapan nilai-nilai Islam yang lain walaupun belum sampai ke matlamat 100% sekurang-kurangnya proses sudah bermula dan ber-jalan.

Program ini merupakan manifestasi dari kesedaran umum bahawa hanya Islam satu-satunya jalan yang harus dilalui dalam menyelesaikan masalah umah dan negara. Walaupun program tersebut menjadi momohkan PAS satu hakikat yang tak dapat ditolak bahawa program bertahap lebih mendatang-kan makna daripada berslogan untuk 100% Islam tetapi belum berbuat apa-apa.

Di sinilah UMNO harus lebih maju ke depan dari PAS - benarlah tuduhan Datuk Musa bahawa Anwar mahu bertin-dak lebih PAS dari PAS dalam konteks melaksanakan cita-cita Islam.

Islamisasi adalah program negara, sayangnya hanya seorang berdua menteri kabinet yang ke hulu-hilir, mengisi erti slogan tersebut yang lain ada yang bukan sahaja tidak mendokong malahan bertindak sebaliknya dengan melakukan kerja-kerja mungkar termasuk merasmikan disko.

Mungkin ada hujah yang berpendapat itu adalah hal per­ibadi yang penting orang itu mesti cerdik, ada otak, pandai merancang dan telah ada rekod menubuhkan itu dan ini untuk kepentingan rakyat.

Persoalan moral pemimpin bukan soal remeh, sebab itulah Allah menurunkan para Nabi di kalangan orang-orang yang maksum supaya dapat diikuti oleh umatnya. Kita tidak menjangkakan pemimpin negara ini harus dicari di kalangan orang yang maksum tetapi wajar terdiri daripada yang terbaik di kalangan rakyat. Jika dah tak ada yang baik memadai terbaik di kalangan orang-orang yang tak baik the best among the worst.

Bertolak daripada keyakinan dan niat yang baik mendorong Anwar berani berhadapan dengan siapa juga termasuk dari­pada parti lawan. Ustaz Hadi Awang tokoh yang amat di-geruni oleh UMNO dan dikagumi oleh PAS dihadapi oleh Anwar dengan tenang di hadapan hampir 2,000 penuntut Malaysia di Amerika baru-baru ini.

Malahan di saat kempen pemilihan sedang memuncak jarang tokoh UMNO yang menyokong Dr. Mahathir berani berhadapan dengan penyokong Datuk Musa di Johor, tetapi Anwar pergi dengan yakin dan terbuka menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan sehingga yang menyoal jadi gagap. UMNO tidak harus mengorban ketokohan Anwar kerana kepentingan seorang berdua tokoh lain yang terang-terang tidaklah lebih baik dari Anwar sendiri.

Jangan kerana percaturan jangka pendek kita kehilangan tokoh yang bakal menjadi aset kepada negara dan umah keseluruhannya.

Malaysia memerlukan kepimpinan yang padu dan mempunyai daya tahan serta daya juang dalam menghadapi masa hadapan yang kian mencabar. Inilah erti perubahan dan pembaharuan sebenar bukan menyuburkan imej lama seperti pengubah lagu, senikata lama rentak sahaja yang baru. Perubahan memang perlu malahan sesuatu yang digalakan iaitu daripada keburukan kepada kebaikan, kejahilan kepada kebijaksanaan dan kemungkaran kepada yang haq.

No comments: