Bab 1 hingga Bab 5 dah siap. Bila selesai semua bab & sihat kembali, nak kena jumpa Kak Fizzy & gang ANSARA yg pernah terbit buku. Now, let me first begin with the end. Enjoy.
###
Bab Akhir
Angin bayu Selat Melaka bertiup perlahan, membawa bau garam, rempah, dan kenangan yang sukar dipadamkan. Mentari senja merebahkan kilauan cahayanya ke atas pantai, mencipta jalur keemasan di permukaan laut, seolah-olah dunia sedang membuka pintu untuk satu perjalanan terakhir.
Amir berdiri di tepian pantai, serban nipis dibahunya anugerah Bendahara, seolah melambai perlahan. Di tangannya, terselit sebuah manuskrip, catatan diplomatik yang ditulisnya untuk Kerajaan Melaka, hasil pemahaman tentang Kanun Melaka, Kitab AlMuqaddimah Ibn Khaldun, Tuhfat al-Nafis dan segala hikmah dan adab pemerintahan yang telah diperhatikannya di istana, yang diserap sepanjang pengembaraan aneh di zaman silam ini.
Sesuatu di dalam dadanya terasa seperti dirobek, bukan oleh senjata, tetapi oleh ketentuan Ilahi yang tidak mampu dilawan sesiapa pun.
Di belakangnya, bunyi desiran pasir, langkah perlahan menghampiri.
Nora atau nama sebenarnya, Dhea Puteri muncul, wajahnya redup diterangi cahaya senja, rambutnya dilambung angin, dan sorot matanya sarat dengan sesuatu rasa yang Amir tidak sanggup namakan.
“Angin bayu ini bagai memberitahuku … kau akan pergi.” Suaranya hampir tenggelam oleh deruan ombak, namun cukup kuat untuk menikam hati Amir.
Amir menghela nafas.
“Garis masa kita berbeza...Perjalananku… bukan kehendakku, Nora. Aku tidak pernah memilih datang ke sini, dan aku juga tidak memilih untuk pulang. Tapi… masa itu bukan milik manusia.”
Nora memandang wajah Amir yang sugul. “Kau datang dari dunia yang jauh, Amir. Dunia yang barangkali tidak dapat aku bayangkan. Tetapi… aku mengenal hatimu. Kau bukan pahlawan yang menghunus keris, tapi kata-katamulah yang menyelamatkan Melaka dari peperangan. Kau menenangkan marah, mengekang dendam, menutup jurang yang tidak dapat dilihat oleh orang lain. Dan tulisan mu...meninggalkan jejak dihatiku”.
Amir tersenyum nipis.
“Sedikit ilmu cukup untuk membina hubungan. Dan kau, Nora… kau yang mengajar aku bahawa bahasa hati jauh lebih kuat dan tulus daripada bahasa buku.”
Nora menggenggam hujung lengan bajunya dengan perlahan, seakan takut Amir akan menghilang.
“Aku takut, Amir… bila kau kembali ke zamanmu nanti, kau akan lupakan daku.”
Amir menggeleng.
“Setiap pertemuan ada perpisahannya, Nora. Tetapi bahasa yang kita kongsi… akan tetap hidup. Di Melaka, di masa hadapan, di mana-mana manusia bernafas dan berbicara.”
Nora gagal menahan derai air mata.
“Lalu… bagaimana dengan kita?”
Amir menatap laut. Garis cahayanya semakin jelas, semakin terang seperti pintu waktu yang memanggil pulang.
“Kita…tidak pernah wujud” Amir menarik nafas panjang, suaranya bergetar, “…Kita adalah dua helai daun yang jatuh dari pohon yang sama, tetapi ditiup ke arah angin yang berbeza.”
Amir menarik nafas dalam-dalam. Ayat yang pernah dihafalnya semasa disekolah menengah melintas di benaknya dengan kejelasan yang menakutkan:
“Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa, sedang ia belum menjadi sesuatu yang disebut-sebut?”
Surah Al-Insan, ayat 1.
Amir berkata dengan suara yang hampir berbisik:
“Kita… bukan sesiapa sebelum Allah menjadikan kita bertemu. Dan bila Dia menarik semula masa itu, siapalah kita untuk menghalang?”.
Nora akhirnya melepaskan pegangannya, namun tangannya bergetar.
“Dulu… aku datang dari masa di mana kau tidak wujud dalam hidupku, Nora. Aku… belum menjadi apa-apa dalam ceritamu. Tapi di sini… di Melaka ini… aku menjadi seseorang.”
Nora menunduk, air mata jatuh perlahan.
“Dan cinta…” Amir menyambung, suaranya pecah sedikit, “…cinta itu muncul walaupun dua hati datang dari zaman yang tidak pernah bertemu.”
Nora mengangkat wajahnya. “Kalau cinta… mengapa harus pergi?”
“Aku… aku hanya dipinjamkan kepada zamanmu.”
“Kau telah mengubah banyak perkara, Amir. Biarpun kau kata mustahil untuk mengubah sejarah, tetapi… Melaka hari ini tidak sama seperti sebelum kau datang.”
“Tidak,” Amir membalas perlahan. “Melaka tetap hebat. Aku cuma meniup sedikit angin dalam layar takdirnya. Destinasi dan sejarah Melaka kekal tidak berubah”.
Tiba-tiba cahaya itu muncul semula, seakan sinaran bulan dan matahari bersatu, membentuk pusaran halus di atas permukaan laut.
Bait-bait lagu M Nasir terbayang kembali dalam hati Amir...detak jantungnya sama seperti ketika dia mula-mula tercampak ke zaman ini.
"Bila bulan bersatu dengan mentari
Bayang-bayangku hilang
Diselebungi kerdip nurani"
Amir tahu sudah tiba saatnya.
“Nora.”
Nora mendongak, matanya merah tetapi tenang.
“Jika takdir mengizinkan… suatu hari nanti, namamu tetap akan sampai ke zamanku. Melalui hikayat, melalui kata, pantun, melalui sejarah. Dan aku akan tahu, bahawa di satu sudut Melaka abad ke-15… ada seorang wanita yang membuat seorang pengembara masa, hampir melupakan dunianya sendiri.”
Nora tersenyum dalam sendu.
“Aku doakan kau selamat kembali, Amir. Jangan biarkan apa yang kau pelajari di sini… terpadam.”
Amir melangkah ke hadapan, lalu membongkokkan sedikit tubuhnya, salam hormat terakhir seorang lelaki asing kepada seorang wanita yang telah memberinya erti kehidupan di tanah dan zaman yang bukan miliknya.
Cahaya semakin terang. Bunyi laut memudar. Udara menipis seperti kaca yang retak.
“Selamat tinggal, Nora.”
“Selamat jalan… Amir.”
Dan dalam sekelip mata, cahaya itu melahap dirinya.
Hening. Hanya bunyi ombak yang tersisa.
Tempat di mana Amir berdiri tadi, pasirnya terasa hangat, seolah-olah waktu sendiri cuba menyimpan jejaknya. Dan ditangan Nora kini menggenggam sehelai kain serban anugerah Bendahara.
---
Epilog
Di zaman jauh ke hadapan, seorang lelaki terhenyak bangun di hadapan rak manuskrip perpustakaan, Museum Maritim. Kaki seluarnya dibasahi air laut Selat Melaka. Di tangannya, sebuah buku catatan yang tidak pernah wujud sebelum ini. Kulitnya lusuh, tetapi di halaman terakhir tertulis:
“Bahasa yang kita kongsi akan terus hidup. Dan dalam setiap kata yang diterjemahkan, terukir jejakku di antara dua zaman.”
Amir tersenyum, penuh rindu yang menyeberangi lima abad. Nora atau nama sebenarnya, Dhea Puteri, adinda Datuk Temenggung, akan kekal hidup dalam jiwa Amir.
Dan dingin bayu malam yang bertiup dari tingkap perpustakaan terasa seperti angin pantai Selat Melaka.
TAMAT.
(C) Zaws 25 Nov 2025.

No comments:
Post a Comment