Popular Posts

Thursday, February 16, 2017

Ewan's Guest House, Kota Bharu Kelantan



Keikhlasan terpancar dari renungan mata, kata-kata dan amal perbuatan - Ewan's Guest House, lokasi percutian kami di Kota Serambi Makkah ini amat istimewa dan lain dari yang lain.

Sengaja penulis memilih untuk tinggal di guest house kali ini. Penulis amat tertarik membaca komentar dan pujian yang diberikan oleh para pelancong luar negara yang pernah menginap di Ewan Guesthouse di Booking.com. Pengalaman penulis tinggal beberapa kali secara santai di Bali, Indonesia dijadikan sebagai kayu ukur. Selalunya kalau ke KB penulis biasanya akan tinggal di Kem Kijang @ PCB yang boleh dikongsi beramai-ramai.

Ternyata perkhidmatan yang diberikan oleh Saudara Ewan amat berbeza. Lokasi penginapan agak tersorok dari hingar-bingar kenderaan jalan raya namun cukup strategik berhampiran dengan pusat bandar, Alah jalan kaki tak sampai 6 minit aje dah sampai ke Pasar Siti Khadijah. Kalau berjalan kaki arah ke bandar anda akan melalui ada gerai makanan dan minuman yang senantiasa sibuk melayan pelanggan (Thai Green tea – laziz jiddan!). Maka patutlah lokasi ini digemari oleh pelancong asing dan juga tempatan.

Saudara Ewan dan isterinya Nik Amy melayan kami bagaikan keluarga, seolah-olah kami telah lama mengenali. Amat jarang sekali dapat ditemui pengusaha guesthouse, anak jati Kelantan yang mengunguli service rating yang amat tinggi. Tak percaya? Sila anda google sendiri. Saudara Ewan tidak segan silu menceritakan kisah hidup beliau secara ringkas. Berbekalkan pengalaman mengusahakan perniagaan mencanting batik yang dipelajarinya dan kemudiannya menubuhkan pasukan pencanting batik sendiri pada usia beliau baru mencecah belasan tahun beliau nekad membiuat kelainan dan mencuba perkara-perkara baru. Saudara Ewan pernah merantau dan tinggal di luar negara bertahun-tahun lamanya menimba ilmu dan berpengalaman sebagai tukang masak dan berpeluang belajar secara hands on mengendalikan guest house di luar negara yang antara lain termasuklah United Kingdom, Netherlands, Australia dan New Zealand. Kecekalan Saudara Ewan berniaga dan mencuba sesuatu yang baru sehingga berjaya tanpa memiliki pendidikan yang formal adalah amat dikagumi dan perlu di contohi. Penulis teringat kata-kata yang selalu digunakan di Ranah Minangkabau – Alam takambang menjadi guru.

“Stop being impressed by wealth and  status. Instead, be impressed by those who treat other human beings well, in both good times and bad.” Mufti Menk

Sesiapa yang berminat nak menjelajahi gua-gua di Kelantan, melawat Pulau Perhentian untuk scuba diving, jungle trekking ke Gunung Stong, menikmati wacana alam yang damai dan tenteram di Negeri Cik Siti Wan Kembang ini, carilah serta gunakanlah perkhidmatan Saudara Ewan ini. Kehidupan ini perlu disyukuri. Hakikatnya, Guest House milik Saudara Ewan bukanlah hotel berbintang-bintang. Takde butler, bellboy atau room service yang akan melayan kerenah anda seperti mana layanan yang anda perolehi di hotel. Kerendahan hati, keikhlasan serta kemesraaan yang diberikan oleh Saudara Ewan dan keluarganya sangat mahal dan sukar diperolehi. Sempat juga penulis beramah mesra dengan seorang warga emas rakyat Britain, Mr Collins yang berasal dari Liverpool yang tinggal menetap berbulan-bulan lamanya. Rata-rata yang memilih untuk tinggal lama di sini adalah dari golongan penulis yang datang mencari idea untuk karya penulisan mereka. Menurut Mr. Collins, dia berpindah-randah dari Bali, India, Thailand dan Malaysia... mengambil kesempatan kadar tukaran matawang yang rendah berbanding Pound Sterling.

Trip kali ini sangat santai. Penulis tak mahu jalan jauh-jauh sangat… cukuplah menikmati kuih muih yang ada. Masa kami tiba, kami dijemput di Lapangan Terbang oleh pemilik serta pengusaha Tiram Travel Sdn Bhd, Tn Hj Salam yang baru sahaja pulang dari Turki. Beliau hanya sempat menemankan kami bersarapan di Kopitiam Kita menikmati roti bakar dan telur separuh masak. Kopitiam Kita ini adalah antara tempat menjamu selera yang amat menarik di KB as recommended by adik penulis sendiri dan rakan-rakan group Whatapps. Terima kasih kepada Tn Hj Salam yang selepas menghantarkan kami ke Museum Istana Jahar, bergegas ke pusat servis kereta untuk urusan kerja beliau di Johor Bharu keesokan harinya. 

Kalau nak belajar mencanting batik…boleh saja… tanyakan aja pada Saudara Ewan kita yang bermurah hati menunjukkan caranya - anda cuba sendiri mencanting dan mewarna kain batik sampai anda puas hati. Penulis memerhatikan sahaja corak batik yang dicanting sendiri oleh tuan rumah. Memang cantik, berseni dan memiliki contrast. Semasa mula masuk bertugas diorganisasi sekarang ini, penulis pernah ditugaskan mendraf perjanjian pengkomersialan Mesin Batik Tjanting yang diilhamkan oleh Tun M sendiri. Hakikatnya, pencanting batik kita rata-ratanya orang-orang lama yang menyimpan idea seni mereka dalam fikiran mereka. Sekiranya mereka ini meninggal dunia kelak, adalah storan corak-corak batik yang hanya perlu dicetak/tjanting terus melalui mesin plotter yang diubah suai untuk mencetak ke atas kain. Itulah dia antara wawasan Tun M. Saudara Ewan juga ada wawasannya sendiri - dari pemerhatian penulis, beliau dengan sengaja bersolat diruang tamu guest house beliau apabila masuk waktu. Di pintu masuk ke Guest House tertulis dengan jelas untuk makluman kepada pengunjung asing "No Alcoholic beverage allowed". Bendanya nampak kecil, tapi mempunyai impak yang besar.

Penulis teringat mengenai bab fotografi subject roda warna. Sayang penulis tidak membawa DSLR untuk percutian kali ini. Feel nak ambil gambar masih tak ada sejak arwah isteri meninggal. Nantilah kalau ada feel balik, penulis pasti terjun kembali ke bidang ini. Sementara itu biarlah gambar bidikan dari handphone murah milik menulis berkata-kata. Percutian kali ini kami berpeluang menziarah rakan-rakan ex-MRSM Jasin yang terpisah lama.

Nota: Bulan Februari adalah musim buah bidara (rasanya diimpot dari negara jiran) dan etok. Etok… nak buka dan makan makhluk shellfish ni kena ada kemahiran sikit, pun sedap juga!

Terima kasih kepada AirAsia yang memberikan perkhidmatan tambang murah yang berpatutan. Di lain masa, Insya Allah, kami akan terbang dan menginap lagi di Ewan's Guest House! Sekiranya pembaca berminat dengan percutian santai, boleh hubungi terus Saudara Ewan di talian 017-906 0605. Ewan... mu tunggu, aku datang!!!