Popular Posts

Tuesday, December 29, 2015

Mencari kekuatan dikala sepi

Sementara menunggu tamatnya waktu rehat, penulis membaca dan membelek status FB lama akaun Allayarhamah isteri tercinta. Banyak kenangan penulis rakamkan melalui foto dan disimpan di sini. Sedar tak sedar, cuti persekolahan anak-anak hampir sampai ke penghujungnya.

Penulis terjumpa posting dari adinda penulis bersempena hari ibu tahun lepas. Kasihan anak-anakku, kini mereka sudah tidak mempunyai mama lagi.


Gambar Maya dgn arwah mama, takde orang lain yang ambil, print dan framekan. Kesemuanya kerja tangan penulis.

Ya Allah, ku mohon kekuatan untuk meneruskan kehidupan
yang masih berbaki ini.
Agar aku dapat melaksanakan
dengan penuh tanggungjawab,
amanah yang diterima dari Arwah isteri.
Mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan dedikasi
Semoga diri ini senantiasa dapat berlaku jujur dan berani
seperti mana yang selalu diamalkan semasa hayat isteri tercinta.
Semoga ingatan dan rasa rindu ini terus berkekalan.
Ya Allah, sekiranya ada
kebaikan dan manfaat surah-surah yang penulis hafaz didalam ingatan
bersama arwah isteri dulu, yang ku baca setiap kali
menaiki kenderaan ke pejabat,
mohon sampaikanlah kepada arwah isteri tercinta
sebagai hasanat tanda ingatan kasih sayang tak kunjung padam.
Aamiin Ya Rabb.

Wednesday, December 23, 2015

Ilmu Hijamah/Bekam : Kursus di ABQAF



2 Set bekam milik penulis sedia untuk berkhidmat

Kali pertama penulis berbekam darah adalah beberapa tahun lalu. Dah buat pertama kali… fuh.. rasa badan ringan, sedap dan segar, sehinggalah penulis membeli set bekam yang pertama kali penulis miliki dari seorang tukang bekam di Masjid Negeri Shah Alam. Mulai hari tu, arwah isteri penulis dengan setia membantu penulis berbekam dengan kaedah bekam angin. Rasa macam kena urut satu badan… ketika itu penulis tidak memiliki pen bekam kerana ianya masih dijual pada harga diluar kemampuan penulis. Pernah cuba juga dengan lancet pen untuk test glukosa darah, tapi prosesnya sangat perlahan….

Baru-baru ini penulis berjaya menamatkan kursus asas bekam yang diusahakan oleh ABQAF dengan kerjasama seorang pakar bekam. Penulis sangat berpuas hati dengan penerangan dan pendekatan sifu bekam ini. Rupanya selama ini cara bekam yang dilaksanakan ke atas penulis tidak berapa efektif. Tujuan bekam itu sendiri sebenarnya adalah untuk mengeluar dan membuang darah kotor yang mengandungi toksin (penyebab penyakit). Kalau tak betul caranya, ikut cakap sifu, tukang bekam itu yang sebenarnya perlu membayar kepada pesakit kerana membuang darah yang baik. Selalu juga terdengar keluhan dari kawan-kawan yang mengatakan bahawa darah kotor tak keluar! (Tandanya system pengaliran darah pesakit telah tersumbat teruk).

Ada bekam angin, bekam magnet, bekam darah... macam-macam jenis bekam ada!

Sepintas lalu, penulis berasa sedih, terkenangkan arwah isteri yang baru sebulan lamanya pulang ke Rahmatullah…rasa hati ini amat sayu, terutama sekali apabila mendengar persoalan dari peserta kursus yang lain yang bertanyakan mengenai tatacara bekam untuk pesakit kanser. Kasihan, arwah isteri tercinta tidak berkesempatan untuk menjalani rawatan melalui proses bekam darah. Maka dengan hati yang sedih penulis mengikuti kursus ini dengan niat untuk melaksanakan bekam darah kepada anak-anak kami dan juga kepada saudara-mara serta sahabat terdekat yang memerlukan. Dengan melaksanakan bekam juga, kita berupaya menghidupkan Sunnah Rasulullah S.A.W.

Selama ini penulis hanya membaca sepintas lalu sahaja mengenai bekam. Ianya selama ini disalah tafsir sebagai perubatan alternatif. Bukan perubatan main line. Sesunguhnya penulis kini sedar dan mengakui kekhilafan penulis – kerana tak membaca, terlepas pandang dan gagal mendalami betul-betul apa yang dibaca.  

“Sesungguhnya, di antara ubat terbaik kalian adalah berbekam" - HR Ahmad

Teringat suatu ayat disurah Al Najm…. dan pengajian ilmu hadis yang dipelajari semasa belajar di UIA dulu. Kalau nabi yang cakap, maka ianya tak lain adalah wahyu dari Allah. Tambahan pula, turunnya saranan untuk berbekam bukan semasa Nabi S.A.W. berada di bumi…. Tetapi selari dengan penerimaan perintah Solat semasa perjalanan Isra’ Mi’raj dilangit!

"Tidaklah aku melalui satu dari langit-langit yang ada melainkan para Malaikat mengatakan, "Hai Muhammad, perintahkan ummatmu untuk berbekam, kerana sebaik-baik cara yang kalian pergunakan untuk berubat adalah melalui bekam, al-kist, dan syuniz semacam tumbuh-tumbuhan".

Bila tiba sessi praktikal, penulis dengan segera menawarkan diri menjadi volunteer, hehehe.... penulis dibekam oleh sifu yang mengajar kami. Bila buka baju, ternyata penulis dah kantoi.... sebab ada beberapa bekas bekam darah yang dilaksanakan oleh anak-anak penulis beberapa hari sebelum itu atas permintaan penulis.... Sifu kami hanya boleh tersenyum!
Sijil tamat kursus milik penulis
Ya, penulis membotakkan kepala agar arwah isteri merasa tenang, kan kita dah sama-sama botak, pujuk penulis. Tak apalah, Ni kata Ni tak cantik sekarang pun tak apa, Mi pun nak sama-sama tak handsome. Dan mengambil kesempatan kepala penulis yang licin macam balik haji dulu, penulis telah meminta Ustaz Firdaus untuk membekamkan kepala penulis... and wow! a lot of good that it did me.

Macam ni la ye… penulis bagi sinopsis kursus yang penulis hadiri hari tu. Nak tahu semua boleh berhubung dengan ustazah Maya untuk mendapatkan tarikh menghadiri kursus. No telefon ustazah Maya ada dipaparkan di gambar sebelah ni.

Sinopsis:

Berbekam adalah cara perubatan terbaik untuk ummat Nabi Muhammad S.A.W.

Kaedah bekam darah moden kini menggunakan pen bekam dan cawan sedutan bekam yang kekuatan hisapannya boleh dilaraskan.

Tusukan pada kulit oleh pen ini sangat pantas sehingga dan membuatkan anda tidak terasa yang tusukan dilakukan kepada tubuh anda. Kaedah tusukan ini serupa sahaja dengan kaedah untuk mendapatkan darah untuk menguji kandungan glukosa/ kolesterol dalam darah.

Lancet (jarum) pakai buang digunakan dan setiap pesakit hanya diperuntukkan sebilah lancet sahaja. Penggunaan lancet tidak dikongsi dengan pesakit lain. Semua peralatan bekam akan melalui proses pensterilan sebelum bekam dijalankan.
Kaedah bekam darah memberikan kesembuhan maksimum pada pesakit berbanding bekam angin. Ia juga adalah kaedah berbekam yang mendapat pahala sunnah bila dilakukan.

Bagi orang yang sihat, anda dianjurkan berbekam sebulan sekali dan bagi orang yang berpenyakit kritikal anda dianjurkan berbekam seminggu sekali bagi kesembuhan yang maksimum.

Waktu mustajab berbekam yang mampu memberikan kesembuhan maksimum untuk rawatan bekam darah ialah tanggal 17, 19 dan 21hb menurut kalendar Islam.

Wanita mengandung, wanita dalam haid, individu yang terlalu lemah, orang tua uzur, pengidap kanser darah, pengidap tekanan darah rendah serius dan pengidap penyakit kulit serius tidak digalakkan berbekam darah.

Rawatan bekam berfungsi meningkatkan tahap kesihatan tubuh badan manusia dengan mengeluarkan darah kotor mengandungi toksin, kolestrol, asid urik, angin, sel darah merah yang telah rosak dan juga unsur gangguan jin. Darah kotor yang dikeluarkan berbeza warna dan sifatnya dengan darah yang bersih. Selepas berbekam kita akan terus terasa segar dan bertenaga kerana badan jadi ringan akibat pengeluaran bahan berbahawa dari badan.

Berbekam secara tak langsung meningkatkan sistem antibodi tubuh badan. Organ tubuh yang mengalami jangkitan dapat sembuh secara dengan lebih baik kerana berbekam merangsang tubuh untuk menghasilkan lebih banyak antibodi yang berupaya mengatasi jangkitan penyakit yang membahayakan. Jika organ tubuh sudah bebas dari sebarang jangkitan penyakit maka tubuh pun akan sihat secara normal.

Tusukan jarum bekam pada titik tertentu meningkatkan hormon regenerasi sel yang bertindak memperbaiki fungsi organ tubuh/sel akibat kerosakan/kecederaan. Organ tubuh yang terganggu fungsinya akan disembuhkan dengan cara memperbaiki jaringan dan sel yang ada padanya sehingga mampu berfungsi dengan lebih baik. Sekiranya kita berbekam pada titik organ tertentu, hormon tersebut akan banyak dirembeskan pada kawasan organ tersebut. Sistem pertahanan badan akan bertindak pantas memperbaiki/menstabilkan apa-apa kelemahan pada organ yang berkaitan.

Nota : Ada tempat-tempat pada tubuh badan yang dilarang untuk berbekam (termasuk kombinasi bekam pada titik-titik bekam tertentu) kerana ianya boleh menyebabkan kemudaratan kepada pesakit.

Friday, December 18, 2015

Pesan Ibu

  • Hargai isterimu sebagaimana engkau menghargai ibumu, sebab isterimu juga seorang ibu dari anak-anakmu.
  • Jika marah boleh tidak memberi wang, boleh tidak berbicara dengan isterimu, tapi jangan bertengkar membentaknya atau memukulnya.
  • Jantung rumah adalah seorang isteri. Jika hati isterimu tidak bahagia maka seisi rumah akan tampak seperti neraka (tidak ada candatawa, manja, perhatian). Maka sayangi isterimu agar dia bahagia dan engkau akan merasa seperti di syurga.
  • Besar atau kecil gajimu, seorang isteri tetap ingin diperhatikan. Dengan begitu maka isterimu akan selalu menyambutmu pulang dengan kasih sayang.
  • Tidak perlu sombong/bertingkah, siapa menang siapa kalah. Kerana keduanya bukan untuk bertanding melainkan teman hidup selamanya.
  • Di luar banyak wanita idaman melebihi isterimu. Namun mereka mencintaimu atas dasar apa yang kamu miliki, bukan apa adanya dirimu. Saat kamu menemukan masa sulit, maka wanita tersebut akan meninggalkanmu
  • Banyak isteri yang baik. Tapi diluar sana banyak orang yang ingin mempunyai isteri yang baik dan mereka tidak memperolehinya. Mereka akan menawarkan perlindungan terhadap isterimu. Maka jangan biarkan isterimu meninggalkan rumah kerana kesedihan, sebab ia akan sulit sekali untuk kembali.

Sunday, December 13, 2015

Kenangan Sakinah dan Mamanya di Langkawi


(Setting Delayed Posting - atas permintaan Neny pada 15 September 2015, ditaip semula pada 10 November 2015, TTDI, Kuala Lumpur, schedule to be published automatically by Blogger sebulan selepas Neny pulang ke Rahmatullah)

Anak-anak kebanggaan Mama sekalian,

Sesungguhnya Mama menyayangi kalian sepenuh hati.
Kalau apa pun yang terjadi, tak usahlah kelak ditangisi pemergian Mama. Mama akan cuba stay positif. Tapi, destinasi Mama rasanya telah hampir tiba. Nanti minta ayah ajarkan mengenai kisah Keretapi Cahaya ya.

Panjatkanlah doa untuk kesejahteraan Mama, sayang.
Mama tidak pernah membezakan kasih sayang anak-anak Mama.

Dengar cakap Ayah sepeninggalan Mama.
Ayah memegang amanah dan wakil tunggal Mama di dunia sekarang ini. Ada beberapa pesanan yang akan Mama tinggalkan untuk Ayah uruskan.

Tak usah berebutkan barang peninggalan Mama. Pusaka sebenarnya Mama tinggalkan untuk anak-anak adalah buku-buku dan semangat "Khairunnas Ma Yanfaun Nass" yang kamu belajar disekolah. Mama suka sangat dengar anak-anak mama ajar hadis ni pada mama dan kita sama-sama  amalkan.

Bantulah ayah menguruskan pesanan yang akan diuruskan oleh Ayah. Tlg Ayah, dia tak pandai berniaga. Pastikan Ayah makan ubat dan bersenam, ya Kinah

Mama dan Ayah tidak pernah mengajarkan perkara yang tidak baik kepada kamu semua. Ingatkan ayah, program ESQ yang kami berdua tak dapat pergi tu tukar dgn program utk ESQ Teens.

Semoga keluarga kita semua dipersatukan semula oleh Allah kelak.

Mama sayang Jamilah, Husna, Kinah dan Muhammad! and I love you too Mi!

Neny

(Nota: penulis menghadapi kesukaran menaip semula pesanan Neny kerana kesukaran membaca tulisan dan kerana kesedihan teramat sangat)

Thursday, December 10, 2015

Menempa Kata Meruntuhkan Gunung

Seorang pertapa sedang duduk mengatur tenaga dalamnya di atas sebuah batu sambil memerhatikan keadaan sekeliling sebuah kolam air. Sudah sepurnama dia berkhalwat mengasingkan diri mencari ilham makrifat untuk mengasah dan meninggikan lagi ilmu persilatannya untuk menyempurnakan  hikmat terbaru diciptanya iaitu jurus hikmat "Menempa Kata Meruntuhkan Gunung". 

Sedang Sang Pertapa itu berehat, dia terlihat dua ekor katak terjatuh ke dalam lubang yang amat dalam. Lubang tersebut letaknya tersembunyi di kawasan semak-samun berhampiran dengan kolam air itu. Nampaknya amat sukar untuk melepaskan diri dari malapetaka malang yang bakal menimpa dua ekor katak tersebut. Kedua duanya berusaha dengan memerah setiap kudrat mereka untuk keluar dari lubang gelap yang amat dalam itu. Melihatkan kehilangan dua orang anggotanya, kumpulan katak-katak yang diketuai oleh permaisuri katak bersaiz XXXL, yang menerajui pelbagai lapisan dan jenis katak, tua, muda dan pelbagai warna masing-masing berteriak-teriak menjerit-jerit dengan suara yang parau sambil terkinja-kinja melompat disekeliling kolam. Mereka beramai-ramai melaksanakan hikmat "Mati segan, hidup tak mahu" atas arahan permaisuri katak, sambil mengejek serta mencerca kedua-dua ekor katak malang tadi dan menyatakan bahawa tak perlulah kalian berusaha lagi. Patuhilah dan jangan melawan adat. Pada mereka, adalah lebih afdal sekiranya kedua-dua ekor katak malang itu dapat menerima sahaja takdir mati katak, keadaan kematian yang penuh penghormatan sesuai menurut adat bangsa spesis katak.

Salah seekor katak malang tersebut yang amat tertekan kerana mendengar cercaan dan cemuhan kumpulan katak-katak merasa lemah, sakit hati dan amat merana keadaannya. Dia berusaha untuk mengerah kudrat tenaga yang tersisa agar dapat keluar dari situasi bahaya tersebut. Namun akhirnya akibat sakit hati, sedih, syahdu, pilu dan sendu yang teramat sangat, tidak bisa terkata kepedihannya, dalam masa tidak sampai sehari, akhirnya katak malang itu diam membisu dan akhirnya tidak berupaya bergerak. Telinganya telah tepu dengan kata-kata nista, cercaan dan penghinaan warga katak diluar sana. Tercapailah impian emas Benson and Hedges seantero warga katak-katak diluar lubang yang amat mahukan saudara mereka mencapai status mati katak. Itulah yang mereka hajati selama ini. Itulah yang mahu dilihat agar segera terjadi. Tak usahlah berusaha lagi, teriak mereka dengan angkuh, sombong lagi bongkak.

Katak seekor lagi juga mengalami tekanan, kepenatan dan keletihan yang amat sangat. Namun dia tetap gigih berusaha, mengerah setiap kudrat tenaga untuk meloncat keluar dari lubang dalam tersebut. Tiap kali melompat, dia akan jatuh ke dalam lubang semula dan menderita kesakitan tubuh badan, namun digagahkannya semula agar ikhtiarnya tetap dapat diteruskan. Akhirnya setelah hampir 7 hari terperangkap dan hampir kebuluran, salah satu percubaannya untuk menerobos keluar dari lubang yang amat dalam tersebut telah berjaya. Maka dengan berkat usaha gigihnya, terselamatlah katak tersebut dari kematian ala "mati katak".

Permaisuri katak berang, amat tidak berpuas hati dan indak menerimo kejadian tersebut. Pada hematnya kejadian aneh ini melanggar adat tradisi nenek moyang leluhur katak dan mengancam kedudukannya.  Dia dengan tegas dan dengan suara yang keras mengarahkan agar sikatak yang terselamat itu masuk mengadapnya di istana kolam, namun setiap arahannya atau apajua arahan yang disampaikan melalui sida-sida permaisuri katak dan juga herdikan sumbang kuncu-kuncu bala tentera ketumbukan komando permaisuri katak itu seolah tidak dihiraukan langsung.

Setelah diteliti oleh sang nujum katak, ternyatalah katak yang terselamat itu sebenarnya tidak mempunyai deria pendengaran sejak dilahirkan. Apajua kata nista, cercaan penghinaan dan tuduhan tak berasas yang dilemparkan kepadanya semasa dia menjadi tawanan secara tidak sengaja di lubang yang amat dalam tersebut, bukan sahaja tidak dapat didengarinya, tetapi juga katak pekak itu dengan suci hati tidak mengetahui realiti bahawa keseluruhan warga katak mahukan anugerah mati katak dikurniakan kepadanya dan rakannya yang telah .... err... mati katak itu.

"Biasanya badak, tapi inilah pertama kali aku bertemu katak pekak", gumam Sang Pertapa kehairanan.

Dari pemerhatian sang pertapa, fahamlah dia bahawa salah satu cara dia boleh meninggikan ilmu persilatannya agar selamat dan tidak dianaiya baik oleh musuh, rakan taulan atau saudara mara sendiri adalah melalui ilmu memekakkan diri seperti yang telah ditunjukkan oleh katak pekak itu. Setelah beberapa lama, pertapa tersebut berjaya mencipta dan melaksanakan sendiri buah jurus dan tari persilatan tertinggi yang amat misteri tersebut.

Sang Pertapa itu muncul dihadapan penulis seraya berkata "Nak, yang manakah pilihanmu? Mau mencontohi katak pertama yang mati dengan amat tragis? Atau kau mahu meneruskan kehidupan dengan aman tenteram?".

"Tok Pertapa, apakah nama jurus terhebat tok itu?" soalku kaget, Jurus Menempa Kata Meruntuhkan Gunung yang ku latih, terganggu caca merba akibat kemunculan tok guruku, Sang Pertapa secara  tidak disangka-sangka. 

Sang Pertapa tersenyum lalu menjawab, "Nak, itulah buah penamat tingkat tertinggi “Biar Mati Adat, Jangan Mati Katak”, lalu Sang Pertapa dan penulis pun bersatu dalam silauan cahaya, sekonyong-konyong ghaib dalam kepekatan malam, disambut dengan bunyi dengkang bersahut-sahutan, saentaro warga kolam, meninggalkan pembaca blog seorang diri.

Wednesday, December 09, 2015

Bodoh Sombong amat membahayakan

Sa’ad bin Malik Al-Khudry R.A. Rasulullah SAW bersabda, “Dahulu pada masa sebelum kalian ada seseorang yang pernah membunuh 99 jiwa. Lalu ia bertanya tentang lokasi orang yang paling alim di muka bumi. Ia ditunjukkan pada seorang ahli ibadah. Lantas sipembunuh ini pun berjumpa dengan ahli ibadah ini dan bertanya, ”Jika seseorang telah membunuh 99 jiwa, apakah taubatnya diterima?” Rahib pun menjawabnya, ”Orang seperti itu tidak diterima taubatnya.” Lalu orang tersebut membunuh rahib itu dan genaplah 100 jiwa yang telah ia bunuh..”.(HR. Bukhari dan Muslim).

Ahli Ibadah yang dinyatakan dalam hadis ini memberikan fatwa tanpa ilmu (tak menggunakan akalnya dan kemampuan berfikirnya) lalu dia mati kerana kebodohannya. Sipembunuh telah melakukan apa yang patut dibuat, iaitu bertanya. (Ada sambungan kepada hadis ini sebenarnya, tapi cukup sampai di sini).

Diriwayatkan dari Jabir R.A. bahwa dia berkata, Pada suatu saat kami bermusafir dalam sebuah rombongan perjalanan. Tiba-tiba ada seorang lelaki diantara kami yang tertimpa batu sehingga kepalanya terluka. Setelah itu dia mengalami mimpi basah. Maka dia pun bertanya kepada sahabat-sahabatnya, “Apakah menurut kalian keadaan saya ini diberi keringanan untuk bertayamum saja?” Mereka menjawab, “Menurut kami engkau tidak diberikan keringanan untuk melakukan hal itu, sedangkan engkau sanggup memakai air.” Maka orang itu pun mandi dan akhirnya meninggal. Apabila kami berjumpa dengan Rasulullah SAW baginda mendapat laporan peristiwa itu. Beliau bersabda, “Mereka (yang berfatwa) itu yang membunuhnya! Semoga Allah membinasakan mereka. Kenapa mereka tidak mau bertanya ketika tidak mengetahui. Kerana sesungguhnya ubat tidak tahu adalah dengan bertanya. Sebenarnya dia cukup bertayamum saja.” (HR. Abu Dawud, Ahmad dan Hakim).

Dalam hadis ini pula, seorang sahabat meninggal dunia disebabkan oleh fatwa tanpa ilmu dari teman-temannya. Kejahilan mengenai tatacara penjagaan, pemakanan pantang-larang pesakit sesuatu penyakit oleh orang jahil yang beria-ria mahu menjaganya tetapi tidak mempunyai ilmu hanya akan menyebabkan pesakit makin menderita dan memberatkan keadaan penyakitnya.

Summary : KEBODOHAN amat membahayakan bukan sahaja kepada diri sendiri, ia juga membawa kesusahan kepada orang lain sehingga boleh menyebabkan kehilangan nyawa. Tapi amat malang sekiranya sekiranya KEBODOHAN disertai dengan sifat SOMBONG dan BONGKAK.... lebih lagi membinasakan, membawa kerosakkan, membahayakan individu, keluarga dan masyarakat setempat dan juga negara, sekiranya dipimpin oleh orang yang bodoh lagi sombong.

Thursday, December 03, 2015

Budaya buruk sangka dan penyebaran kepalsuan



Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.
(Surah Al-Isra' :36)

Ramai yang memberi alasan bahawa mereka mengikut dan mengiyakan sahaja berita yang disebarkan (tanpa perlu usul periksa kebenaran/kesahihan) berita dan maklumat yang diperolehi dan  menyebarkannya pula karena menganggap perkara itu kecil sedangkan perlakuan itu jauh menyimpang dari apa yang dianjurkan Islam. "Alah, itu benda kecik aje, adatlah kita jadi macam ni  manalah kita tahu" sedangkan tatacara bercakap, nada suara yang tinggi, kenyataan yang dibuat dihadapan khalayak ramai, perlakuan dan tindakan orang yang mempercayai berita palsu itu sangat jelas menunjukkan seolah-olah bahawa itulah kisah sebenarnya yang berlaku. Yang menghairankan sekali, ada juga ramai orang yang bersekongkol seolah-olah maklumat palsu itu adalah perkara yang sahih. Malang sekali nasib mereka ini. Sudahlah jahil, disesatkan dan turut sama menyesatkan orang lain.

Sumber yang sahih dan mengetahui dengan tepat berita sebenar, bukannya tidak ada, wujud jelas dihadapan mata, atau boleh disahkan dengan panggilan telefon kepada pihak yang menyimpan rekod yang sah, namun malang sekali, tidak mahu pula didengar dan dipercayai kerana kerakusan hawa nafsu dan ketamakan, sudah menguasai diri.
 
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
(Surah Al-Hujurat:6)

Ayat di atas ditujukan khas kepada orang-orang yang beriman. Amat berbeza sekali perilaku orang beriman dengan kelakuan orang yang fasik. Orang yang mempunyai iman akan tunduk patuh kepada apa yang diperintahkan Allah. Sekiranya mereka TIDAK BERIMAN, ya dipersilakan, tak ada masalah jika anda langgar sahaja perintah Allah ini. Maka, fikirkanlah balik perbuatan dan perlakuan anda tanpa mengira lapisan umur sama ada tua atau muda - apakah iman anda telah tercabut? dan sudahkan anda bertaubat dan seterusnya memohon ampun dan maaf kepada orang yang dizalimi?

Setiap dari kita seharusnya bercita-cita untuk mati sebagai seorang muslim yang baik dan mengamalkan agamanya dalam kesemua aspek kehidupan dan kematiannya. Apabila jenazah kita diturunkan ke liang lahat dan dikuburkan, persoalan yang akan ditanya oleh malaikat tidak ada yang berkaitan dengan warna kulit, bangsa, keturunan, suku, darjah kemuliaan, kesetiaan mengikut dan mempertahankan adat dan sebagainya. Kalau nak pertahankan semua tu, mati esok kalian cubalah tanyakan kepada 2 malaikat tu.... "Bahawasanya aku dulu masa kat dunia bangga sangat sangat dengan pangkat, harta, gelaran, bangsa dan adat yang aku bernati-matian pertahankan, apasal pula takde nak tanya!!?"


Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat). (Surah An-Nur:11)

Sekiranya berita dusta juga yang masih mahu dipertahankan, silakan. Sesungguhnya penulis berlepas diri dari fitnah ini dan hanya boleh mengingatkan anda agar kembali ke jalan yang benar. Hidayah milik Allah, bukan ditangan penulis.

Kelak anda jawablah beramai-ramai di depan Mizan Allah yang Maha Adil. Kebatilan tidak dapat ditegakkan dengan satu lagi kebatilan. Cukuplah penulis memilih untuk mendiamkan diri selagi mana bukti sahih tukasan anda itu tidak dapat dizahirkan.

(Nota: Seingat penulis, Asbabul Nuzul surah An-Nur adalah kerana peristiwa fitnah kepada Ummul Mukminin Saidatina Aisyah r.a., kesan dosa dan siksa akibat perbuatan fitnah tetap sama dalam apa jua keadaan. Ya sedangkan isteri Nabi S.A.W. pun diuji dengan fitnah, apatah lagi kita orang biasa).