Popular Posts

Tuesday, July 14, 2015

Pesanan dari Syair Raja Ali Haji


Dengarkan tuan ayahanda berperi,
kepada anakanda muda bestari,
jika benar kepada diri,
masihat kebajikan ayahanda beri.

Ayuhai anakanda mulai remaja,
jika anakanda mengerjakan raja,
hati yang betul hendaklah disahaja,
serta rajin pada bekerja.

Mengerjakan gubernemen janganlah malas,
zahir dan batin janganlah culas,
jernihkan hati hendaklah ikhlas,
seperti air di dalam gelas.


Jika anakanda menjadi besar,
tutur dan kata janganlah kasar,
janganlah seperti orang sasar,
banyaklah orang menaruh gusar.

Tutur yang manis anakanda tuturkan,
perangai yang lembut anakanda lakukan,
hati yang sabar anakanda tetapkan,
kemaluan orang anakanda fikirkan.

Kesukaan orang anakanda cari,
supaya hatinya jangan lari,
masyurlah anakanda dalam negeri,
sebab kelakuan bijak bestari.

Nasehat ayahanda anakanda fikirkan,
keliru syaitan anakanda jagakan,
orang berakal anakanda hampirkan,
orang jahat anakanda jauhkan.

Setelah orang besar fikir yang karu,
tidak mengikut pengajaran guru,
tutur dan kata haru biru,
kelakuan seperti anjing pemburu.

Tingkah dan laku tidak kelulu,
perkataan kasar keluar selalu,
tidak memikirkan orang empunya malu,
bencilah orang hilir dan hulu.

Itulah orang akalnya kurang,
manyangka diri pandai seorang,
takbur tidak membilan orang,
dengan manusia selalu berperang.

Anakanda jauhkan kelakuan ini,
sebab kebencian Tuhan Rahmani,
jiwa dibawa ke sana sini,
tiada laku suatu dewani.

Setengah yang kurang akal dan bahasa,
sangatlah gopoh hendak berjasa,
syarak dan adat kurang periksa,
seperti harimau mengejar rusa.

Ke sana kemari langgar dan rampuh,
apa yang terkena habislah roboh,
apa yang berjumpa lantas dipelupuh,
inilah perbuatan sangat ceroboh.

Patut juga mencari jasa,
kepada raja yang itu masa,
tetapi dengan budi dan bahasa,
supaya negeri ramai temasya.

Apabila perintah lemah dan lembut,
semua orang suka mengikut,
serta dengan malu dan takut,
apa-apa kehendak tidak tersangkut.

Jika mamerintah dengan cemeti,
ditambah dengan perkataan mesti,
orang menerimanya sakit hati,
barangkali datang fikir hendak mati.

Inilah nasehat ayahanda tuan,
kepada anakanda muda bangsawan,
nafsu yang jahat anakanda lawan,
supaya kita jangan tertawan.

Habislah nasehat habislah kalam,
ayahanda memberi tabik dan salam,
kepada orang Masihi dan Islam,
mana-mana yang ada bekerja di dalam.

Jika hendak mengenai orang berbangsa,
lihat kepada budi dan bahasa.

Jika hendak mengenal orang yang berbahagia,
sangat memeliharakan yang sia-sia.

Jika hendak mengenal orang mulia,
lihatlah kepada kelakuan dia.

Jika hendak mengenal orang yang berilmu,
bertanya dan belajar tiadalah jemu.

Jika hendak mengenal orang yang berakal,
di dalam dunia mengambil bekal.

Jika hendak mengenal orang yang baik perangai,
lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.

(Raja Ali Haji)

No comments: