Popular Posts

Tuesday, June 02, 2015

Review produk : Handie talkie VHF Baofeng 888S



Pagi tadi semasa menunggu lif untuk naik ke pejabat, Presiden dan Ketua Eksekutif organisasi penulis bertugas telah menegur dan bertanyakan kepada penulis yang ketika itu sedang memegang handie talkie amatur radio dual band UV-82. Huh…Dato’ Presiden pun berminat nak tahu lebih lanjut mengenai amatur radio rupanya!….huhuhu…Saya masih SWL, boleh mendengar, tapi takleh memancar lagi… exam minggu depan ni… nanti kita cerita lagi ya…. Selagi takleh memancar, takleh la penulis buar review set dualband VHF/UHF Baofeng UV-82 ni lagi.

Dalam rangka usaha memahami radio mudah alih, penulis  telah membeli 2 set handie talkie Baofeng 888S melalui talian pada harga RM130 sepasang dan pada masa yang sama memesan kabel programming untuk set frekuensi yang akan digunakan supaya ianya beroperasi dalam julat yang dibenarkan undang-undang (sila rujuk dokumen terkini dari MCMC) iaitu FRMS 16 channel. FRMS tu binatang apa? Pi baca kat Pakcik Google. Software opensource Chirp boleh dimuat turun untuk membuat setting yang diperlukan. Baca aje manual! Tak sesusah mana pun. Penggunaan diluar julat frequensi yang dibenarkan adalah menjadi kesalahan disisi undang-undang. Kalau kena dakwa oleh MCMC, terduduk anda nanti. Denda maksimum RM300k. Penjara maksimum 3 tahun atau yang best - anda kena kedua-dua sekali!

Mengapa perlu guna walkie talkie? Anda mungkin tertanya-tanya mengapa kita memerlukan peralatan ini. Ianya membolehkan anda untuk segera berbual dengan orang lain tanpa perlu mendail nombor telefon atau bergantung kepada perkhidmatan telefon mudah alih. Radio dua hala merupakan alternatif yang berguna selain telefon bimbit. Tidak ada kontrak atau perkhidmatan bayaran bulanan, anda tidak perlu bimbang tentang caj berlebihan, dan radio akan terus bekerja walaupun anda berada di luar kawasan perkhidmatan syarikat telefon selular. Ciri-ciri ini membuat radio dua hala popular digunakan oleh pemburu, kaki pancing, aktiviti berkhemah dan lain-lain. Ada kalanya umpamanya semasa cuti perayaan, talian sistem telefon selular  menjadi sesak, atau ketika berlaku bencana, umpamanya maka ketika keadaan itu berlaku, radio dua hala, atau lebih tepat lagi radio amatur adalah alternatif yang terbaik untuk berkomunikasi.


Balik kepada revieu kita ini, penulis menggunakan set ini untuk tujuan perhubungan secara simplex semasa beriadah di Taman Tasik Shah Alam dan semasa berwindow shopping di  pusat membeli-belah dan juga untuk kegunaan konvoi berkenderaan ke tempat-tempat lain. Dengan adanya handie talkie ini, penulis memberikan kebebasan untuk anak-anak penulis berjalan sendiri menjelajah tapak pasar minggu Shah Alam yang amat besar macam tapak pesta tu. Takdelah dema boring kena jalan dengan mak ayah aje. Output kuasa yang rendah sedia ada juga amat memadai.Set handie ini berukuran kecil, ringan dan mempunyai jangka hayat bateri yang sangat baik. Jauh juga ruang lingkup signal jelas yang boleh diperolehi tertakluk kepada keadaan mukabumi. Harga – dah tentu murah untuk frekuensi gelombang 70cm (400-470Mhz).

Audio isyarat yang keluar melalui pembesar suara juga sangat kuat. Antara fitur lain adalah kemudahan lampu suluh LED yang sangat berguna semasa kecemasan walaupun tidak berapa terang pada hemat penulis.

Terdapat tiga model radio ini iaitu BF-666, BF-777, dan BF-888. Hanya ada beberapa perbezaan kecil diantara model-model radio ini. Sama aje pada penulis. Kesemuanya tidak mempunyai paparan frekuensi dan perlu diset terlebih dahulu melalui software. Pemilihan channel yang telah diset, dibuat dengan memusing tombol berputar di atas badan radio.

Pek bateri 3.7v berkuasa 1500Ah dan dibekalkan dengan sebuah pengecas meja. Tempoh mengecas bateri dari keadaan kosong sepenuhnya mengambil masa kira-kira 3 hingga 4 jam lamanya. Hayat bateri sangat panjang. Menurut pengalaman penulis bertahan selama 3 hari dalam mode monitoring sebelum set handy ini mengeluarkan bunyi amaran kuasa rendah sehinggalah bateri kong – senyap terus.

Radio handie ini nampak macam set radio bodoh, hampeh, takde fitur mewah, tiada paparan langsung dan langsung tidak ada menu, seolah-olah ianya hanya alat permainan, namun dengan hanya tombol berputarnya ianya mampu memberikan anda kemudahan berkomunikasi jarak dekat (bergantung kepada keadaan bentuk muka bumi sehingga 3-4 km) pada harga yang amat berpatutan. Harganya yang murah anggaran RM64 sebiji…. Kalau rosak, campak aje set ni ke dalam tong sampah (ambil bateri, antenna dan klip untuk recycle kegunaannya dengan handie talkie baru). Kalau nak repair… gamaknya kos membaik pulih lagi mahal dari membeli set baru!

Sebelum ini penulis pernah menggunakan sepasang set walkie talkie FRMS keluaran Aztech Technologies 40 channel yang jauh lebih kecil dan antenna body kontot yang menggunakan 3 biji bateri AAA. Dengan set walkie talkie ini penulis mengembara ke USA, merata tempat di Indonesia, Jepun dan pernah digunakan semasa mengerjakan fardu haji untuk berhubung dengan arwah Ibu dan adik perempuan penulis yang turut sama mengerjakan haji. Payah kalau terpisah. Ada yang ikut muassassah dan ada yg ambil pakej. Memang kecil.. stealth...berwarna putih... boleh lepas guard masjid, cuma jangkauan sangat terhad dan kuasa bateri tak berapa nak tahan jika dibandingkan dengan set Baofeng 888s yg dibincangkan ini.

73 untuk anda yang sudi membaca entry ini.

4 comments:

wan muz said...

Bro boleh cerita pasal walkie talkie kat mekah tak?
Nak tahu frequency ape pakai sana

Superstage said...

Saya gunakan jaluran 477Mhz 40 Channel
Set yang saya gunakan boleh tengok link dibawah ini. Kecil dan mudah disorokkan.
Tak tau sama ada masih ada dipasaran. Beli pun kat Carrefour S Jaya RM100 sepasang.

https://forum.lowyat.net/topic/2841718/all

Anonymous said...

Bos, saya nk bertanya.

Baofeng BF-888S Walkie Talkie ni kena ada lesen dari SKMM tak? atau masuk dlm free lesen? ingat nak beli untuk kegunaan di rumah bagi anak2 main. lagipun BF-888S ni tak mahal. sesuai dengan bajet saya. dah berkali beli walkie talkie model untuk kanak2 xpi cepat rosak, kadang terlalu bising bunyi statik dan tak jelas suara.

minta pandangan/nasihat bos.

Superstage said...

Ya set ini murah dan boleh diharapkan. Saya baru pulang dari berkonvoi di Melaka semasa kesesakan jalan raya dan kenderaan ahli rombongan kami terpisah. Banyak gunanya!

Tuan perlu mempunyai ilmu (software dan programming cable utk sambung kepada pc) untuk set walkie talkie tersebut kepada jaluran percuma yang telah dibenarkan oleh SKMM (ya tak perlu lesen);

ATAU

secara alternatifnya belilah set walkir talkie ini daripada penjual yang boleh setkan frequencynya dalam julat yang dibenarkan. Set default walkir talkie ini masa baru dibeli selalunya dalam frequency yg tak dibenarkan diMalaysia. Kalau penjual kata semuanya sama dah macam tu dari kilang takleh ubah frekuensinya, maka dia hanya tukang jual peralatan sahaja!
http://www.miklor.com/COM/Review_BF888S.php