Popular Posts

Thursday, May 22, 2014

Sejuk Mata Pedang Dingin Hati

Sejuk Mata Pedang - Dingin Hati tidak ada kena mengena dengan tulisan entry blog hari ini. Ianya adalah nama jurus pedang tertinggi Nie Feng, si Penjejak Badai dalam siri komik Pedang Setiawan. Kalau tak adikku Fizi dan my old buddy, Dino, memperkenalkan komik-komik ni gamaknya aku ini buta komik kot?


Bukan niat penulis nak bercerita pasal komik, tapi mengenai pesan seorang tua, arwah Datuk Prof. Dr. Nik Abd Rashid Nik Abd Majid (lebih mesra disapa sebagai Pak Nik, yang merupakan bekas pensyarah di Kulliyyah Undang-Undang UIA) antara sifu subject Land Law kepada penulis dan rakan seangkatan..selain dari Prof Hunud "the Indeafesible" (2 tahun lepas dia datang ziarah rumah parents penulis), Kak Bashiran, Mdm Jamilah Hussain dan siapa lagi ye??? Oh... dah lebih berpuluh tahun juga lamanya. Pantas masa berlari pergi. Namun memori indah bersama Pak Nik masih menggamit ingatan kepadanya.

Pak Nik mewariskan ilmu undang-undang tanah dan equiti, tapi pesan Pak Nik, ilmu undang-undang ni kita kena layan macam ilmu bertempur dengan pedang juga. Dah tau ilmu ni, kena rajin membaca dan juga kemudiannya berlatih menulis. Dengan menulis kita menyampaikan ilmu kepada orang ramai. Dengan menulis juga kita boleh membunuh orang.

"Sesungguhnya sekuat dan setajam mana pun sebilah pedang, ianya boleh dipatahkan dengan kekuatan tulisan sebatang pena. Jadilah orang yang berguna kepada agama, bangsa dan negara dengan ilmu kalian perolehi di UIA ini", lebih kurang begitulah pesan Pak Nik dalam khutbah jumaatnya yang terakhir kali kami dengari sebagai mahasiswa di Masjid AlMalik Faisal, UIA PJ. Sungguh sayu keadaan jemaah masjid ketika saat itu. Pesanan padat yang disampaikannya seolah-olah Pak Nik mahu pergi jauh.

Hari itu adalah hari terakhir kelas tutorial kami bersama Pak Nik sebelum minggu peperiksaan bermula. Jumaat itu juga adalah hari terakhir Pak Nik berkhidmat sebagai tenaga pengajar di UIA. Rakanku Wan Zainol sempat bertanya "Pak Nik nak ke mana?" Katanya dia dilantik jadi penjaga barang-barang antik (mula-mula kami berdua tak berapa faham) rupanya Pak Nik dilantik jadi Ketua Pengarah Museum Melaka. Pak Nik kelihatan amat bergaya sekali mengenakan baju melayu warna krim, lengkap bersamping dan bercapal bagai seorang panglima melayu lama.


Perhatikanlah nukilan Raja Ali Haji dalam mukaddimah bukunya Bustan AlKatibin:

Segala pekerjaan pedang itu -
boleh dilaksanakan dengan pena
Adapun segala pekerjaan pena itu
tak dapat dibuat dengan pedang
Dan beberapa ribu dan laksa pedang yang siap terhunus
Dengan segores pena kembali tersarung

Kata pena, akulah Raja ini dunia!
Sesiapa yang mengambil aku dengan tangannya
Akan ku sampaikan pekerjaannya.


Beberapa bulan kemudian, semasa menjalani latihan dalam kamar untuk menjadi peguam, penulis mendapat panggilan telefon dari seorang sister...  "Zaws... Pak Nik meninggal.... jom kita ikut majlis kebumi beliau di Bukit Kiara... dekat ajekan dengan your house".

AlFatihah untuk Pak Nik, arwah guruku. Anak muridmu ini masih lagi bertatih jurus paling asas - Menggaris Pena, Menikam Sukma!

No comments: