Monday, July 22, 2013

Bonda pulang ke Rahmatullah



Inna lillahi wa inna ilaihi Rojiun.

Bonda yang kami cintai Hajjah Zaharah Arshad /Ibnatu Jamilah telah mendahului kami pulang ke Rahmatullah dengan tenang pada hari Isnin 15 Julai 2013 / 05 Ramadhan kira-kira jam 8.40 malam di Wad Onkologi Hospital Besar Kuala Lumpur. Ketika itu hanya Ayah dan penulis berada di sisi beliau.

Terima kasih banyak di atas ucapan takziah, nasihat dan kata-kata perangsang yang datang mencurah-curah dari pada ahli keluarga, sahabat handai kawan, teman, ahli qariah masjid, kenalan dan juga bekas anak-anak murid beliau yang telah datang baik dari jauh dan dekat apabila mendapat khabar berita pemergian bonda. Penulis juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan-rakan di media Facebook, Group WhatApps Ex-UIA dan Maahad Hamidiah rakan-rakan ex-UIA dan juga wargakerja SIRIM yang sudi menyedekahkan bacaan ayat suci AlQuran untuk kesejahteraan bonda dan menghadiri solat jenazah di masjid. Tak lupa juga ucapan terima kasih kepada kepada barisan Ustaz dan Ustazah anak-anak angkat beliau yang datang menziarahi kami dan memimpin para pelajar huffaz Instiitut Al-Quran Kuala Lumpur (IQKL) yang bersama-sama mengadakan majlis membaca dan mengkhatamkan AlQuran serta mendoakan kesejahteraan bonda. Terima kasih kepada Uncle Nazri yang dengan murah hati menaja segala urusan pengkebumian bonda dan juga kepada makcik-makcik dan ustazah yang membantu kami memandikan dan mengkafankan jenazah bonda.

Memang penulis suka membuat perancangan untuk membawa bonda bersiar-siar. Tetapi amat berat hati ini apabila penulis juga yang dipilih oleh Allah untuk membuat laporan kematian dan menguruskan penghantaran jenazah bonda dari hospital ke rumah dengan van jenazah. Terima kasih kepada saudara Kamarul Zaman, staff rumah mayat HBKL yang membantu penulis dan juga kepada Hisyam sepupu penulis yang menjadi orang yang paling awal sampai ke HBKL. Ustaz Firdaus Sulaiman memimpin solat jenazah dan penulis sendiri yang mengetuai bacaan doa untuk kesejahteraan ruh bonda dan untuk kesejahteraan kami yang masih tinggal. Kemudian jenazah dibawa ke Masjid At-Takwa Taman Tun Dr Ismail dan disolatkan oleh jemaah yang ramai sebelum dibawa ke tanah perkuburan Bukit Kiara untuk dikebumikan.

Marilah kita sama-sama memanjatkan doa agar mudah-mudahan Allah mengampuni kesemua dosa bonda, menerima segala amalan kebaikan yang dikerjakan selama hidupnya, melapangkan dan menerangkan kuburnya dengan Nur, dihindari dari siksaan kubur, mencucuri ruhnya dengan Rahmat dan  menempatkannya di dalam Syurga berserta dengan golongan ambia, siddiqin shuhada serta solihin. Aamin.

“Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Rabb kalian dalam keadaan berpuas hati lagi diredhai.” (Surah Al-Fajr ayat 27-28).
Hanya jiwa yang tenang sahaja yang mampu kembali kepada Allah dalam keadaan diredhai dan mampu mengharungi segala ujian dan cabaran di atas dunia ini.

Hari ini hari bonda kami, esok lusa mungkin hari kita. Maka selagi kita masih hidup ini rebutlah peluang yang ada untuk bekalan kita di akhirat kelak.

Mama, kami akan ingat pesanan mama mengenai ALQURAN. Diakui ramai bahawa ilmu bonda dibidang pengajian ALQURAN ini jauh meninggalkan kami semua. Kami, anak-anak, menantu dan cucu-cucu mu dan juga Ayah, menyayangi mama dunia akhirat dan redha dengan ketentuan ini. Walaupun mama tiada disisi kami, akan kami teruskan dan menjadi iltizam kami membuat dan mencontohi teladan baik yang mama tunjukkan kepada kami selama ini.

Link berkaitan dengan entry ini di sini.

No comments: