Popular Posts

Monday, July 29, 2013

Firmware terbaru untuk Sistem Kamera Nikon 1 V1

Selama ini penggunaan adaptor FT-1 dengan lensa Nikon AF-S tidak dapat menggunakan mod pemfokusan secara berterusan. Masalah ini telah diselesaikan dengan pengubahsuaian secara perisian firmware yang terbaru.
 - Support for continuous auto focus when an AF-S lens is attached to the camera via the FT1 adapter (when the adapter's firmware is updated to version 1.10).

Ianya boleh didapati di sini.

Sekiranya berkelapangan, penulis akan membuat review penggunaan F-T1 yang telah dinaik taraf dengan firmware terbaru) dengan lensa Nikon AF-S dalam masa terdekat ini.

(Agak-agaknya fitur ini akan mempercepatkan bateri kamera habis... tapi itulah harga yang mesti dibayar untuk mendapatkan fitur yang amat berguna untuk peminat birding. Maka makin laku dan popularlah gamaknya Sistem Nikon 1 kepada sniper foto jarak jauh).

Saturday, July 27, 2013

Langkah Meringankan Musibah

Ketika tidur bermalam dibilik bonda, penulis terjumpa nota-nota yang dikutip dari pengajian agama yang bonda ikuti. Penulis merakam nota tulisan tangan bonda menggunakan peralatan kamera macro agar ianya dapat kongsikan di sini dan mudah-mudahan ianya memberikan manfaat kepada ahli keluarga dan juga para pengunjung blog ini. Nota-nota ringkas pengajian agama peninggalan bonda penulis, Hajjah Zaharah Arshad ini penulis rasakan jauh lebih berharga dari barang-barang peninggalan beliau yang lain. Sila klik pada imej untuk membesarkannya.







Mohon maaf kerana penulis 'faham sendiri' text tulisan bonda tetapi tidak dapat menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu. Penulis akan mendapatkan jasa baik Abi Sarah (Ustaz Firdaus Sulaiman) untuk memberikan terjemahan text bahasa rab dalam imej-imej diatas. Sekiranya anda mendapati nota ringkas ini (dan juga siri lain yang penulis akan upload dalam masa terdekat ini) memberikan faedah kepada anda, harap pengunjung blog dapat menyedekahkan bacaan surah AlFatihah untuk bonda Hajjah Zaharah Arshad ibnatu Jamilah, mudah-mudahan ruhnya dicucuri Rahmat. Al-Fatihah.

Monday, July 22, 2013

Bonda pulang ke Rahmatullah



Inna lillahi wa inna ilaihi Rojiun.

Bonda yang kami cintai Hajjah Zaharah Arshad /Ibnatu Jamilah telah mendahului kami pulang ke Rahmatullah dengan tenang pada hari Isnin 15 Julai 2013 / 05 Ramadhan kira-kira jam 8.40 malam di Wad Onkologi Hospital Besar Kuala Lumpur. Ketika itu hanya Ayah dan penulis berada di sisi beliau.

Terima kasih banyak di atas ucapan takziah, nasihat dan kata-kata perangsang yang datang mencurah-curah dari pada ahli keluarga, sahabat handai kawan, teman, ahli qariah masjid, kenalan dan juga bekas anak-anak murid beliau yang telah datang baik dari jauh dan dekat apabila mendapat khabar berita pemergian bonda. Penulis juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan-rakan di media Facebook, Group WhatApps Ex-UIA dan Maahad Hamidiah rakan-rakan ex-UIA dan juga wargakerja SIRIM yang sudi menyedekahkan bacaan ayat suci AlQuran untuk kesejahteraan bonda dan menghadiri solat jenazah di masjid. Tak lupa juga ucapan terima kasih kepada kepada barisan Ustaz dan Ustazah anak-anak angkat beliau yang datang menziarahi kami dan memimpin para pelajar huffaz Instiitut Al-Quran Kuala Lumpur (IQKL) yang bersama-sama mengadakan majlis membaca dan mengkhatamkan AlQuran serta mendoakan kesejahteraan bonda. Terima kasih kepada Uncle Nazri yang dengan murah hati menaja segala urusan pengkebumian bonda dan juga kepada makcik-makcik dan ustazah yang membantu kami memandikan dan mengkafankan jenazah bonda.

Memang penulis suka membuat perancangan untuk membawa bonda bersiar-siar. Tetapi amat berat hati ini apabila penulis juga yang dipilih oleh Allah untuk membuat laporan kematian dan menguruskan penghantaran jenazah bonda dari hospital ke rumah dengan van jenazah. Terima kasih kepada saudara Kamarul Zaman, staff rumah mayat HBKL yang membantu penulis dan juga kepada Hisyam sepupu penulis yang menjadi orang yang paling awal sampai ke HBKL. Ustaz Firdaus Sulaiman memimpin solat jenazah dan penulis sendiri yang mengetuai bacaan doa untuk kesejahteraan ruh bonda dan untuk kesejahteraan kami yang masih tinggal. Kemudian jenazah dibawa ke Masjid At-Takwa Taman Tun Dr Ismail dan disolatkan oleh jemaah yang ramai sebelum dibawa ke tanah perkuburan Bukit Kiara untuk dikebumikan.

Marilah kita sama-sama memanjatkan doa agar mudah-mudahan Allah mengampuni kesemua dosa bonda, menerima segala amalan kebaikan yang dikerjakan selama hidupnya, melapangkan dan menerangkan kuburnya dengan Nur, dihindari dari siksaan kubur, mencucuri ruhnya dengan Rahmat dan  menempatkannya di dalam Syurga berserta dengan golongan ambia, siddiqin shuhada serta solihin. Aamin.

“Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Rabb kalian dalam keadaan berpuas hati lagi diredhai.” (Surah Al-Fajr ayat 27-28).
Hanya jiwa yang tenang sahaja yang mampu kembali kepada Allah dalam keadaan diredhai dan mampu mengharungi segala ujian dan cabaran di atas dunia ini.

Hari ini hari bonda kami, esok lusa mungkin hari kita. Maka selagi kita masih hidup ini rebutlah peluang yang ada untuk bekalan kita di akhirat kelak.

Mama, kami akan ingat pesanan mama mengenai ALQURAN. Diakui ramai bahawa ilmu bonda dibidang pengajian ALQURAN ini jauh meninggalkan kami semua. Kami, anak-anak, menantu dan cucu-cucu mu dan juga Ayah, menyayangi mama dunia akhirat dan redha dengan ketentuan ini. Walaupun mama tiada disisi kami, akan kami teruskan dan menjadi iltizam kami membuat dan mencontohi teladan baik yang mama tunjukkan kepada kami selama ini.

Link berkaitan dengan entry ini di sini.

Friday, July 12, 2013

Ya Dzaljalali wal Ikram



يَا ذَا الْجَلاَلِ واْلإِكْرَامِ
Ya Allah ! Yang Maha Agung dan Maha Pemurah

أَمِتْنَا عَلَى دِيْنِ اْلإِسْلاَم
Matikanlah kami dalam agama Islam

يَا عَالِمَ السِّرِّ مِنَّا
Wahai yang Maha Mengetahui akan rahsia kami

لاَ تَهْتِكَ السِّتْرَ عَنَّا
Janganlah Engkau tanggalkan hijab daripada kami

وعَافِنَا وَاعْفُ عَنَّا
Berilah kami ‘Afiyah, dan ampunilah kami

وَكُنْ لَنَا حَيْثُ كُنَّا
Bantulah kami dimana saja kami berada

Tuesday, July 09, 2013

Kenapa perlu ada surat cuti untuk pembantu rumah?

Kenapa perlu ada surat cuti untuk pembantu rumah?
  1. Supaya tidak menghadapi masalah dengan mana-mana official di kedua-dua negara.
  2. meminimakan kes pembantu rumah yang nakal "mengular" ke tempat lain - kerana tarikh pulang dan tarikh balik ke Malaysia boleh dijangka melalui surat.
  3. menunjukkan anda adalah majikan yang bertanggungjawab dan prihatin masalah pembantu rumah anda. Pembantu rumah serta keluarganya akan menghargai anda.
Kenapa anda perlu mempunyai hubungan baik dengan pembantu rumah dan juga ahli keluarganya?
  1. mengelakkan stigma kita rakyat Malaysia seolah-olah "memperhambakan" pembantu rumah. Buktikan bahawa bukan semua rakyat Malaysia zalim kepada pembantu rumah seperti apa yang dinyatakan diakhbar-akhbar di dalam dan di luar negara.
  2. pembantu rumah adalah saudara seagama anda dan perlu dibantu. Hakikatnya saudara kandung anda sendiri yang mempunyai kerakyatan Malaysia mungkin tidak mahu menjaga makan pakai anak-anak anda walaupun anda berikan upah atau upah yang mereka minta tidak berpadanan dengan tugasan yang diberikan.
  3. Ada juga kes makanan dan minuman pembantu rumah dicatu! Ada kes pembantu rumah dikurung dan tak dibenarkan bercakap walaupun dengan jiran tetangga. Ada kes pembantu rumah ditahan separuh wang gaji tahunannya untuk memastikan kontraknya sebagai pembantu rumah disambung. Sedangkan hakikatnya mereka ke Malaysia atas niat berkerja untuk menyara kehidupan keluarga mereka.
Ya benar, tidak dapat dinafikan ada banyak kes pembantu rumah yang lari dari rumah majikan dan menyusahkan majikan. Ada yang mencuri dan mengambil kesempatan atas layanan baik majikan. Banyak faktor yang menyebabkan hal ini. Antaranya pengaruh kawan-kawan mereka yang kononnya diberikan gaji yang lebih tinggi, masalah keluarga dikampung, orang lain yang dengki dengan keikhlasan dan kecekapan pembantu rumah anda, niat datang ke Malaysia yang bukan ikhlas untuk berkerja tetapi untuk berjalan-jalan dan berseronok!

Hakikatnya mereka ini rata-rata datang dari golongan berpendapatan rendah, tidak berpelajaran tinggi dan mudah dipengaruhi. Ada banyak kes pembantu rumah yang baik kelakuan dan pekerjaan dihasut untuk berkerja ditempat lain yang kononnya menjanjikan gaji yang lebih lumayan, namun kembali lari/berhenti dan insaf, kalau boleh mahu pulang berkerja ke majikan asal kerana berasa tertipu dengan janji-janji palsu yang ditaburkan. Bukan mudah mahu masuk kembali berkerja di Malaysia setelah berhenti. Silap haribulan majikan baru mereka perolehi tidak bertimbangrasa, ditambah dengan gaji yang terpaksa dipotong untuk membayar kos kepada agen di Indonesia.


Tanyalah diri anda sendiri apakah anda telah berusaha untuk memastikan bahawa pembantu rumah anda berkeyakinan untuk terus berkerja dengan anda tanpa rasa ragu?