Monday, May 13, 2013

Isu Manifesto Mahkamah tolak saman 2,020 ibu tunggal

Penulis pernah mengupas isu ini sebelum Parlimen dibubarkan tempoh hari. Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini tidak sedikitpun mengejutkan, malah telah pun dijangkakan. Bahaya akibatnya sekiranya isu perundangan (position of law) yang telah diketahui sekian lama dipolitikkan macam wayang kulit untuk kepentingan sesuatu parti politik. Akibatnya, kredibiliti anggota parti tersebut diperlekehkan dan rakyat yang terlibat dalam kes tersebut akan tahu sendiri bahawa mereka telah dipergunakan!

Kes ini mengenai tuntutan ibu tunggal di Selangor. Pada hemat penulis, kes mengenai tuntutan air rumah pangsa juga akan diputuskan begini, iaitu janji manifesto tidak mengikat.

Blog entry penulis mengenai isu ini ada di 
SINI


************************************
Mahkamah Rayuan tolak saman 2,020 ibu tunggal di Selangor 
Bernama 5:15PM Mei 13 2013

Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini memutuskan bahawa sebuah manifesto pilihan raya tidak boleh dikuatkuasakan secara sah.

Berikutan keputusan penting itu, mahkamah membatalkan saman sivil yang difailkan oleh 2,020 ibu tunggal di Selangor berhubung pembayaran elaun RM100 kepada mereka seperti terkandung dalam manifesto pembangkang pada pilihan raya umum 2008.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus yang bersidang bersama Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof membenarkan rayuan kerajaan Selangor dan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim supaya mengetepikan keengganan Mahkamah Tinggi untuk membatalkan saman tersebut.

Hishamudin bersetuju dengan hujahan yang dikemukakan oleh peguam A Vishnu Kumar, yang mewakili kerajaan Selangor dan Khalid, bahawa manifesto itu bukan sebuah dokumen yang terikat di sisi undang-undang.

Vishnu telah mengemukakan bahawa seseorang yang tidak berpuas hati dengan kegagalan memenuhi janji pilihan raya tidak boleh menuntut untuk menguatkuasakan manifesto tersebut.

Beliau berkata remedi mereka merupakan bersifat politik dengan memetik kes mahkamah di England termasuk keputusan hakim terkenal, Lord Denning, yang memutuskan remedi pengundi untuk tidak memenuhi janji pilihan raya terletak di peti undi.

Hishamudin juga menerima hujah Vishnu bahawa pihak responden yang diketuai pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Selangor, Murtini Kasman Saman, tidak boleh mencabar perkara itu berikutan saman sivil itu telah difailkan di luar tempoh masa.

Peguam itu memberitahu mahkamah bahawa pihak responden sepatutnya memfailkan saman tersebut dalam tempoh tiga tahun mulai Mac 2008 tetapi hanya melakukannya pada 23 November tahun lepas.

Mahkamah kemudian memerintahkan responden membayar kos guaman sebanyak RM1,000 kepada kerajaan Selangor dan Khalid.

Peguam Walter Pereira, yang mewakili pihak responden, berkata janji-janji dalam manifesto itu diterjemahkan sebagai satu bentuk kontrak.

Kumpulan ibu tunggal itu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam tahun lepas dengan menuntut elaun berjumlah RM10.9 juta seperti dijanjikan kepada mereka oleh pakatan pembangkang dalam manifesto pilihan raya umum 2008.

Pada 12 Disember 2011, kerajaan Selangor dan Khalid memfaikan permohonan untuk membatalkan saman tersebut dan pada 23 Januari lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu dan memutuskan kes itu dibicarakan.

-Bernama

Laporan NST di sini.

2 comments:

Unknown said...

apa maksudnya? saya sedikit keliru.

benda ni macam whistle blowing aja kan?

Superstage said...

Salam,

Ini bukan kes whistleblowing tapi penyelewengan kedudukan undang-undang.

Status manifesto sejak dahulu lagi adalah merupakan pernyataan-pernyataan yang tidak mengikat parti yang membuat janji. Sebenarnya parti yang membuat janji tidak boleh didakwa dimahkamah sekiranya mereka tidak dapat melaksanakan janji-janji yang terkandung dalam manifesto mereka.

Diketahui bahawa wakil BN telah pergi ke kumpulan ibu tunggal/penduduk rumah pangsa yang tidak mendapat kemudahan air percuma 20 meter padu (kerana tuidak menukar meter air pukal keapda meter air persendirian) dan menjanjikan bahawa mereka akan mendapat apa yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Rakyat dengan mengemukakan tuntutan di mahkamah dan kesemua pemfailan kes ini ditanggung oleh orang tertentu untuk memalukan Pakatan Rakyat.

Yang peliknya, kerajaan BN semasa berpuluh tahun memerintah negeri Selangor tidak pernah pula menjanjikan akan membela nasib ibu tunggal dan/atau memberikan air percuma kepada rakyat.

Remedi yang ada kepada mereka yang tidak berpuas hati ini adalah melalui peti undi di pilihanraya selanjutnya kerana rakyat mengundi calon, bukan mengundi manifesto. Sila baca kupasan saya diblog entry sebelum ini.