Monday, April 09, 2012

PERSEPSI dan EMOSI


Masa zaman belajar di universiti dulu, kalau tak silap semasa tahun 2, ayah ada menawarkan untuk memberikan kemudahan kereta yang ibu penulis gunakan untuk berulang-alik ke kampus yang terletak kira-kira 5 km dari rumah kami di TTDI. Tapi oleh kerana penulis tidak mendapat apa-apa pinjaman atau biasiswa untuk menampung pengajian dan makan-minum (kesemuanya ditanggung sepenuhnya oleh ayah dan tambahan pula masa tu lesen kereta pun tak ambil lagi), penulis berkeras untuk menggunakan kemudahan bas/teksi sahaja untuk berulang ke kampus. Sambil-sambil itu, penulis juga mencuba-cuba berniaga kecil-kecilan - ambil upah tempahan fotostat buku rujukan pengajian dan sekali sekala berniaga kain batik dari Terengganu.

Untuk ke kampus dari TTDI ke UIA PJ, perlu menaiki 2 buah Bas Sri Jaya. No. 50 akan membawa penulis ke Taman Sentosa (lebih dikenali dengan panggung wayang) dan dari depan panggung wayang, penulis akan mengambil sama ada bas Sri Jaya No. 238 atau Bas Mini no 12 yang akan berhenti di Masjid AlMalik Faisal, UIA PJ. Jadual bas tidak menentu. Untuk ke kampus sekiranya ada kuliah jam 8 pagi, penulis akan keluar berjalan kaki ke perhentian bas paling lewat jam 6.45 pagi. Wajib penulis sediakan sekaki payung dan baju extra dalam bag. kalau kena hujan, sekurang-kurangnya ada persalinan pakaian. Perjalanan memakan masa lebih kurang sejam... kebanyakan masa penulis akan berdiri didalam bas yang sempit dan padat dipenuhi orang yang mahu berkejar ke tempat kerja dan ditambah dengan kesesakan jalanraya.

Persalinan baju wajib ada 2 pasang paling kurang kerana sudah pasti keadaan dalam bas tidak selesa dan panas berpeluh-peluh. Belum campur masalah pergi ke kuliah dengan keadaan comot kerana terkena make-up dan lipstik merah (milik wanita muda yang "teraksiden") dalam bas. kekadang ada juga lipstik yang melayang ke pipi! Uiks.. saya tak sengaja kak... takpelah dik. Kadangkala orang-orang ini mengenali keluarga penulis... aduh malunya - ada yang bertanyakan mengenai ibu penulis..... pening dibuatnya. Ada kalanya penumpang lain mengaduh sakit sebab terkena hujung payung penulis yang tajam. Ada kalanya kaki kita terpijak orang dan orang pijak kaki kita.

Macam-macam bau pun ada....yang memang masam bau peluh tu satu hal... ada yang wangi fuh semerbak sungguh baunya harum..... Ada satu hari tu aku dicabar... "Mi, hang pi minta no telefon adik sorang tu (rasanya budak UM) utk aku"... baik cabaran disahut "Er.. adik ni pakai perfume brand Bodyshop .. "Juba" kan? Macam mana you tau? Ada la... rahsia (akhirnya kawanku AH terpaksa belanja aku makan semangkuk sup ekor kat gerai Vicchuda malam tu & sampai la dia masih ingat brand perfume tersebut sebagai "Jub*r"). Pendek kata naik bas ni macam-macam hal la!

Persepsi salah - jenama pewangi yang bagus "Juba" dikaitkan dengan Jub*r. Emosi? Ketawa ajelah!

Apa yang penulis nak sampaikan dipaparan blog kali ini adalah mengenai persepsi orang lain. Persepsi boleh menipu dan tidak menggambarkan situasi sebenar.

Penulis meminati perbandingan antara agama dan mengambil kursus Comparative Religion. Yang mengajarnya adalah seorang Ustaz, Dr Musthaq Ahmad yang berasal dari Pakistan. (Alfatihah untuk arwah Ustaz yang ku kasihi). Ianya merupakan subjek tahun 3 tapi sebagai strategi untuk memudahkan penulis ditahun akhir, penulis telah merancang dan berpakat dengan seorang kawan Jaleel Baker (sekarang Jaleel adalah CEO sebuah syarikat awam) seawal tahun 1 agar kesemua subjek elektif mesti dihabiskan paling cepat sebelum tamat semester 1 tahun 3. Jadi dalam peringkat permulaan, dalam 1 semester berkemungkinan penulis akan mempunyai overload 3 atau 4 subjek tambahan. Ruang masa penulis sebenarnya amat suntuk untuk menyiapkan kesemua tugasan dan kajian yang dijalankan. Dan ada kalanya ketika mengambil peperiksaan, penulis terpaksa dikuarantinkan kerana peperiksaan yang diambil bertembung (supaya penulis tak dapat soalan bocor). Jadi habis aje satu peperiksaan, tanpa rehat, cuma sekadar masa untuk sempat menunaikan solat, penulis akan terus mengambil peperiksaan subjek yang bertembung tersebut! habis exam memang terus KO! Jadi kalau penulis jatuh sakit sebelum exam, memang susahlah jawabnya! Ada rakan-rakan yang pernah bertanyakan mengenai social life - did I ever had one? Entahlah... jujur - penulis hanya orang biasa-biasa - bukan superman.

Persepsi yang salah - mamat ni teror gila babeng bab perancangan mengaji. Emosi - setengah nak mati belajar masa tahun 1, 2 & 3. Masuk tahun 4 bagi kedua-dua semester tinggal 3 subjects aje dan kelas cuma hari isnin, selasa dan rabu. Khamis, Jumaat, Sabtu & Ahad - merdeka!

Penulis amat berminat sekali dengan sejarah Ahlil Kitab (Yahudi dan Nasrani) kerana ianya banyak sekali diperkatakan dalam AlQuran. Yahudi menyatakan bahawa mereka adalah bangsa pilihan Tuhan dan Tuhan telah membuat perjanjian dengan mereka sedangkan kaum Nasrani pula menjadi sesat (antaranya akibat campur tangan Maharaja Rum yang mahu menyelaraskan dan meminda ajaran yang sebenar yang dibawa oleh Nabi Isa A.S. dengan agama nenek moyang mereka yang menyembah dewa-dewa atas tujuan peribadi Empayar Rum).

Alkisah oleh kerana kesuntukan masa untuk menelaah di perpustakaan, penulis telah meminjam buku-buku keagamaan yahudi dan nasrani (termasuk beberapa naskah Bible perjanjian baru dan lama). Ada juga penulis meminjam Injil Barnaba yang tidak diiktiraf oleh Nasrani (penulis ada membuat salinan fotostat dan masih ada dalam simpanan penulis). Belum campur buku-buku lain mengenai sejarah bangsa yahudi. Masa meminjam buku-buku tersebut, penulis tidak terfikir mengenai bagaimana nak mengangkutnya pulang ke rumah.

Semasa menunggu bas depan Masjid AlMalik Faisal, orang pandang semacam aje. Bila naik dalam bas semua orang macam pandang slack aje... mula-mula tak perasan, tapi lepas turun bas di Sentosa, seorang pakcik yang berkopiah dan beberapa orang penumpang bas bangsa melayu telah menahan penulis "Kamu ni dah jadi dalang Yahudi dan kristian ke? Nama aje pakai baju melayu, tapi penyokong agama kristian" Terkejut juga kita apabila kena sergahan tersebut. Mereka semua telah tersalah anggap! Tak sempat penulis memberikan apa-apa penjelasan, tahu-tahu sebijik penumbuk singgah ke arah dada penulis (nasib baik kena muka jam tangan kerana sedang mengendong buku-buku) dan buku-buku kontroversi itu kesemuanya milik perpustakaan Universiti Islam Antarabangsa jatuh bertaburan diatas jalanraya. Syukur kerana ada beberapa orang berbangsa cina dan india yang berniaga air di kawasan tersebut meleraikan keadaan. Kalau tidak memang lembik penulis kena belasah!

Persepsi - gamaknya depa ingat penulis dah jatuh murtad!. Emosi - mixed feelings. Tak tahu nak describe!

Kenapakah manusia seringkali mengikut persepsi dan emosi tanpa terlebih dahulu usul periksa? Salahkah kita mencari ilmu untuk berguru, mengetahui dan mendalami sejarah agama yahudi dan nasrani? Kalau kita dah ada ilmu, tentulah kita boleh menjelaskan dengan sistematik dan yakin diri kepada golongan yahudi dan nasrani kebaikan yang ada dalam Agama Islam. Kita amat cepat melatah dan memandang serong sesuatu perkata seolah-olah kita sebagai pelajar ada agenda kita sendiri. Sekarang timbul lagi masalah kristianisasi yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak.

Penulis ingin bertanya, tak payah jawab, pembaca jawab pada diri sendiri ye:

1. diketahui mubaligh kristian berdakwah dengan begitu hebat sekali sampai sanggup masuk hutan berjumpa dengan orang asli dan terus tinggal disana, takde income. Pendakwah kita berapa ramai ada yang sanggup buat macam tu ke? Ada berani ke?

2. kita gaduh-gaduh pasal isu murtad, bohsia, rempit, buang bayi, dadah dan lain-lain... berapa ramai pegawai JAWI dan Jabatan Agama lain yang memantau kawasan Jalan Bukit Bintang dan sekitarnya?

3. Ada ke orang monitor berapa ramai orang lelaki yang pi solat Jumaat atau sebaliknya pi shopping, dating etc ketika masuk waktu solat jumaat?

4. Duit kutipan zakat tu sampaikah ke golongan sasaran? Orang Kedah yang menetap di Selangor kalau nak bantuan dari wang zakat perlu pulang ke negeri Kedah juga ke? Sampai bila nak seragamkan perkara ini?

5. Kalau tak tahu mengenai sesuatu perkara, berbincanglah dengan mereka yang tahu dan berilmu. Jangan main belasah dulu, tanya kemudian.

AMAT POWER sekali persepsi dan emosi.

Soalan tambahan:


Siapakah yang akan anda pilih sebagai menantu? Seorang yang berpakaian segak memandu kenderaan berjenama seperti Merc/BMW atau seorang lagi yang berpakaian biasa-biasa memandu sebuah kancil lama?

(Nota : Pemandu kenderaan berjenama mungkin masih berhutang untuk membeli dan memulihara kenderaan yang digunakan sementara pemilik kancil lama mungkin tidak mempunyai hutang kenderaan kerana telah lama dilangsaikan dan mempunyai wang simpanan yang cukup yang disimpan dibank untuk menempuh alam perkahwinan!)

No comments: