Sunday, April 01, 2012

Aprilia April

Setiap kali menjelang 1hb April, sesetengah orang kita begitu taksub mengenakan orang. Fikiran mereka penuh dengan senarai mangsa-mangsa untuk dipermain-mainkan.

Fikiran mereka berputar ligat untuk merangka rancangan 'penganiayaan' ini. Yang penting mereka ingin puas melihat muka mangsa-mangsa gurauan April Fool mereka merah padam kerana dipermain-mainkan. Bagaimanapun, tanpa mereka sedari, kadang kala lawak-lawak biasa atau 'practical jokes' yang dilakukan boleh mencetuskan pergaduhan dan penyesalan yang berpanjangan.

Bayangkanlah....seorang suami yang jahil tentang agama, telah mengucapkan, 'Aku ceraikan kau dengan talak 3' pada isterinya dengan niat untuk melawak. Isterinya yang pada mulanya terpinga-pinga terus meraung apabila si suami dengan muka selamba kemudiannya mengucapkan 'April Fool!'. Selepas itu, giliran si suami pula untuk meraung apabila diberitahu bahawa talak yang dilafazkan telah pun jatuh!!!

Di zaman persekolahan di MRSM dulu ada rakan-rakan yang dianaiya setibanya 1 April semasa mereka tidur. 1 tiub ubat gigi dilumurkan di keliling mereka. Bagi mereka yang tidurnya tidak diam, bangun sahaja untuk menunaikan solat subuh, mereka akan mendapati diri mereka penuh dengan ubat gigi! Tak cukup dengan itu juga, kasut sekolah mereka ditukar sebelah dengan rakan dari dorm lain. Bukankah ini satu bentuk penganaiyaan? Sedarkah kita bahawa doa orang yang teranaiya makbul dan mustajab?

Berbalik kepada perayaan April Fool's Day ini, adalah dipercayai bahawa ia mula dirayakan sewaktu kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol. Setelah bertapak berkurun-kurun lamanya di Granada, Sepanyol, kerajaan Islam akhirnya runtuh diserang tentera-tentera Kristian. Penduduk-penduduk Islam di Sepanyol ( Moors ) terpaksa berlindung di dalam rumah untuk menyelamatkan diri. Tentera-tentera Kristian bagaimanapun tidak berpuas hati dan berusaha untuk menghapuskan orang-orang Islam dari Sepanyol.

Penduduk-penduduk Muslimin ini, diberitahu bahawa mereka boleh berlayar keluar dari Sepanyol dengan selamat bersama-sama barang-barang keperluan mereka dengan menggunakan kapal-kapal yang berlabuh di perlabuhan. Orang-orang Muslimin yang risau sekiranya tawaran tersebut merupakan suatu penipuan, telah pergi ke perlabuhan untuk melihat kapal-kapal yang dimaksudkan. Setelah berpuas hati, mereka membuat persiapan untuk bertolak.

Keesokan harinya (1April ), mereka mengambil semua barangan yang telah dikemaskan lalu menuju ke perlabuhan. Pada masa inilah, pihak Kristian mengambil kesempatan menggeledah dan membakar rumah penduduk-penduduk Islam itu. Mereka juga tidak sempat untuk menaiki kapal kerana semuanya telah musnah dibakar. Pihak Kristian kemudiannya menyerang kaum Muslimin dan membunuh kesemuanya, lelaki, perempuan, serta anak-anak kecil. Peristiwa berdarah yang meyedihkan ini kemudiannya diraikan oleh tentera Kristian.

Keraian ini akhirnya dirayakan setiap tahun bukan sahaja di Sepanyol tetapi juga di serata dunia sebagai April Fool's Day. Yang menyedihkan, orang-orang Islam yang jahil mengenai peristiwa ini turut meraikan April Fool's Day tanpa menyedari mereka sebenarnya merayakan ulangtahun pembunuhan beramai-ramai saudara muslim mereka sendiri.

Semoga Allah sentiasa membuka pintu taubat untuk kita.

No comments: