Wednesday, January 04, 2012

Perjanjian Kerahsiaan dan kegunaannya sebagai strategi pengkomersilan produk

Perjanjian Kerahsiaan digunakan untuk menghalang pekerja dari mendedahkan maklumat sulit dan rahsia milik sesebuah organisasi semasa pekerja sedang bekerja dengan organisasi tersebut. Ianya juga adalah bertujuan untuk mengawal pendedahan maklumat sulit dan rahsia tersebut semasa dan selepas kontrak pekerjaan pekerja tersebut tamat. Sebaiknya, sesebuah organisasi perlu mempertahankan maklumat sulit dan rahsia milik organisasi tersebut dengan menandatangi dokumen bertulis yang dikenali sebagai Perjanjian Kerahsiaan dengan setiap dan tiap-tiap orang yang mempunyai pengetahuan tentang perkara sulit dan rahsia tersebut. Dengan menerapkan amalan menandatangani perjanjian kerahsiaan ini secara konsisten dan menyeluruh, seandainya terma perjanjian kerahsiaan ini dimungkiri oleh mana-mana pihak, organisasi tersebut akan mudah untuk membuktikan bahawa satu pihak telah melakukan pemecahan kontrak yang telah dan seterusnya beruipaya untuk mengambil tindakan untuk melindungi maklumat sulit dan rahsia tersebut dari terus disebarkan melalui perintah injunksi dan/atau untuk menuntut gantirugi daripada pihak yang mungkir menerusi tatacara perundangan.

Perjanjian Kerahsiaan boleh dibuat dengan sesiapa sahaja (pekerja, rakan niaga, sekutu niaga, para penyelidik dan lain-lain lagi) yang mana anda sebagai pemilik maklumat sulit dan rahsia, mahu menetapkan obligasi kerahsiaan mengenai tatacara penggunaan dan pendedahan maklumat sulit dan rahsia milik anda.

Rahsia Perniagaan (Trade Secret)

Rahsia perniagaan adalah sejenis harta intelek dan juga merupakan salah satu strategi yang boleh digunakan untuk melindungi harta intelek anda. Ianya berpotensi untuk memberikan perlindungan yang efektif untuk melindungi portfolio harta intelek tertentu yang anda miliki. Namun, ingatan khusus perlu diambil iaitu sesuatu rahsia perniagaan hanya boleh dilindungi dengan baik sekiranya produk yang dihasilkan dari rahsia perniagaan tersebut sukar untuk ditiru oleh orang lain. Ini mungkin meliputi proses pembinaan, pemasangan atau cara membuat (formula atau resepi) pembuatan produk yang mana untuk menghasikannya produk tersebut secara ”reverse engeneering” adalah sesuatu yang mustahil.

Mengambil langkah untuk menjadikan atau menggunakan rahsia perniagaan sebagai harta intelek akan menyebabkan ianya tidak didaftarkan dibawah mana-mana akta yang melindungi harta intelek atau sekiranya sesebuah organisasi mahukan rahsia perniagaan tersebut digunakan secara ekslusif melebihi jangka hayat yang biasanya terpakai sekiranya ianya didaftarkan sebagai sebuah paten.

Contoh yang selalu diberikan disini adalah resepi Coca-Cola yang mana sehingga ke hari ini, tatacara pembuatan Coca-Cola dan formulanya telah disimpan sebagai rahsia perniagaan untuk tempoh berdekad-dekad lamanya! Penulis pernah berpeluang untuk melawat World of Coca-Cola di Atlanta, Amerika Syarikat dan cukup kagum dengan strategi pengkomersilan perniagaan syarikat tersebut yang cukup innovatif sehingga ianya berupaya menjadi pusat tarikan pelancong dan berupaya menjadi pemangkin perniagaan hiliran ”merchandising” seperti mug, pakaian, memorablia, magnet peti sejuk, poster penajaan dan lain-lain barangan yang kini menjadi kegilaan pengumpul barangan Coca-Cola. Namun ada juga keburukan penggunaan rahsia perniagaan kerana ianya tidak memberikan perlindungan kepada pemiliknya sekiranya ada pihak ketiga mahu bersaing dengan produk asal dan mencipta produk yang sama untuk bersaing dengan produk asal.

Sekiranya ada pemecahan kerahsiaan, undang-undang memberikan perlindungan kepada rahsia perniagaan, pemecahan kerahsiaan dan juga tindakan ”passing off” dibawah common law untuk tanda niaga. Adalah menjadi kebiasaan melalui amalan bahawa pemilik harta intelek akan memadankan Rahsia Perniagaan dengan Tanda Niaga (Trade Mark), hakcipta dan juga Industrial Design dalam satu produk untuk menguatkan tuntutannya sebagai pemilik.

Apa yang perlu kita disedari adalah kerahsiaan tidak dapat menghalang orang lain dari merekacipta produk yang sama atau menggunakan proses yang digunakan dalam maklumat rahsia milik kita dalam proses pembuatan bahan lain. Ianya juga tidak dapat menghalang pihak ketiga dari menggunakan proses rahsia tersebut secara komersil. Kerahsiaan tidak memberikan hak ekslusif dan anda sebagai pemiliknya adalah terdedah kepada kemungkinan-kemungkinan untuk mengalami kerugian apabila pekerja anda yang mengetahui rahsia pernigaan anda berhenti kerja. Kerahsiaan perniagaan juga adalah sukar untuk dilindungi pada jangkamasa yang lama atau sekiranya terlalu ramai orang boleh memperolehi rahsia yang dilindungi tersebut. Untuk membuktikan pemecahan kerahsiaan dibawah common law adalah sukar dan mungkin akan melibatkan belanja yang besar daripada mempertahankan harta intelek anda melalui tatacara pendaftaran.

Sebagai tambahan, selain dari menandatangani perjanjian kerahsiaan, antara cara berkesan yang boleh dicadangkan untuk mengurangkan risiko pendedahan kerahsiaan anda adalah apabila kontraktor atau pekerja anda mula-mula berkhidmat dengan anda, anda boleh meminta mereka memberikan akujanji bertulis untuk bersetuju tidak menjadi pesaing kepada perniagaan anda sekiranya khidmat mereka tamat atau kontrak pekerjaan mereka ditamatkan. Tambahan pula, adalah lebih mudah untuk membuktikan pemecahan kontrak untuk tidak bersaing daripada membuktikan pemecahan kerahsiaan. Namun, akujanji sebegini agak sukar untuk dikuatkuasakan dimahkamah dan ianya perlu disediakan oleh pengamal undang-undang supaya terma yang terkandung didalamnya adalah munasabah, adil dan tidak menghalang hak kontraktor atau bekas pekerja anda mendapatkan peluang untuk menyara kehidupan mereka ditempat lain.

Artikel ringkas ini ditulis untuk kegunaan organisasi tempat penulis bertugas.

No comments: