Monday, October 10, 2011

Mencintai orang Miskin

Orang-orang miskin tidak boleh disia-siakan, mereka harus dihormati dan dimuliakan selaras dengan asas kemanusiaan. Merekalah yang membuat kita diberi rezeki Allah dan ditolong Allah dan kita amat dianjurkan untuk menyayangi dan melindungi mereka. Amat rugilah mereka yang menyombongkan diri, tidak mahu bercampur atau berkenal mesra dan hanya meminggirkan golongan miskin selama di dunia ini hanya atas dasar mereka ini bukan sama "standard" atau "class" dengan kita. Sedangkan apa bila kita mati dan dikuburkan nanti, pangkat dan harta tidak turut serta menemani kita didalam barzakh nanti. Yang ada hanya lubang sempit dan gelap... . Oleh kerana itu, kisah dan teladan yang dipaparkan oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang mengandungi teguran tersirat untuk mendidik masyarakat dalam filem "Ibu Mertuaku" boleh dijadikan panduan.

Dari Abu Dzar berkata: Rasulullah kekasihku berpesan kepadaku untuk istiqamah pada beberapa hal. Beliau berpesan kepadaku agar tidak melihat kepada orang yang lebih tinggi dalam hal kekayaan, tetapi hendaklah melihat kepada orang yang lebih rendah daripada aku. Beliau berpesan kepadaku agar menyintai orang-orang miskin dan selalu dekat dengan mereka. Beliau berpesan kepadaku agar menyambung silaturrahim walaupun mereka berpaling.Beliau berpesan kepadaku agar aku tidak takut celaan orang yang mencela. Beliau berpesan kepadaku agar aku berkata yang benar (haq) walaupun pahit. Beliau berpesan kepadaku supaya aku banyak membaca "La haula wala quwwata illa billah", kerana kalimat itu adalah kekayaan surga.

Rasulullah sangat menyintai orang-orang miskin. Kerana memang orang miskin yang sabar mempunyai kelebihan dan keistimewaan di sisi Allah. Maka hati-hatilah anda jangan meremehkan dan menghinakan orang miskin yang sabar dan tidak pernah meminta-minta. Kerana ketahanan mereka dalam menghadapi cobaan, maka Allah sangat menyukai mereka kerana sesungguhnya orang miskin kelak banyak yang menjadi penghuni surga!

Pernahkah anda bertemu dengan mereka yang miskin harta, tetapi sebenarnya mereka kaya ilmu, kaya jiwa dan amat tinggi budi bahasa? Ada di antara mereka yang walaupun tidak berpelajaran tinggi sekalipun, namun amat ringan tulang dalam menghulurkan pertolongan kepada orang yang lebih memerlukan bantuan hatta apabila meninggal orang-orang seperti ini, maka berduyun-duyunlah orang ramai datang menghadiri dan memenuhi masjid diupacara solat jenazah sehingga dibuat solat jenazah 2 -3 round kerana kesempitan ruang dan amat ramai sekali yang menghantarkan jenazah ke kubur sehinggakan ianya menimbulkan kehairanan orang lain yang tidak mengenali simati yang tertanya-tanya - Subhanallah! Siapakah Hamba Allah yang meninggal pada hari ini? orang besarkah? ahli perniagaankah? Dia seorang Dato' kah?.... sedangkan hakikatnya simati hanyalah seorang buruh kasar dan peniaga kecil-kecilan menanggung ahli keluarga yang ramai, tinggal dirumah tua usang, yang hanya menunggu masa untuk dirobohkan kerana terletak dalam penempatan setinggan!

Apakah kita ini tergolong dalam ahli Syurga atau ahli Neraka?

Seorang ustaz pernah berkata, sebenarnya, kita boleh mengetahui diri kita golongan mana. Ah! Bagaimana tu Ustaz? Tolong jelaskan?, tanya seorang rakan dengan penuh kebimbangan.

Jawab sang Ustaz, katakanlah tuan mempunyai rumah sebuah banglo.... sudah tentulah tuan berusaha sedaya upaya untuk memiliki banglo berkenaan. Tidak cukup hanya memiliki, ianya juga perlu dihiasi agar kelihatan menarik dan ini memerlukan pengorbanan titik peluh dan wang ringgit yang banyak dibelanjakan tuan selama ini dan ada diantaranya tuan terpaksa bergolok gadai demi untuk mendapatkannya.

Tidakkah pernah tuan bertanya kepada diri sendiri, apakah usaha dan pelaburan kita selama ini memadai dan cukup untuk memiliki sebuah rumah yang indah dan semestinya lebih hebat lagi didalam Syurga???

No comments: