Monday, August 22, 2011

Lima Masa

Banyaknya email dan kad ucapan hari raya yang diterima di pejabat hari ini! Sesungguhnya, sejak adanya khidmat internet/email/fotografi digital penulis sudah hampir tidak pernah lagi mengirimkan apa-apa ucapan kad hari raya, melainkan sekadar balasan kepada rakan yang mengirimkan kad.

Terima kasih kepada rakan-rakan yang bertanyakan khabar : kenapa sejak pulang dari tanah suci, ko terus diam... langsung tak bersuara & “tak nampak batang hidung – dalam meeting pun khabarnya senyap je – ada masalah ke?” ujar seorang rakan yang kebetulan ditempatkan di hotel yang sama di Makkah yang baru dipertemukan semula kembali pagi tadi semasa perhimpunan anggota kerja.

Nak buat macam mana, kerja banyak – banyak benda yang kena buat semula sebab arahan yang diberikan kelabu asap, tidak jelas dan macam-macam kerenah klien – kalau arahan kelabu, tak kan nak buat agreement yang cacamarba? Kalau dulu penulis secara proaktif membantah apa-apa permintaan mengarut tapi kali ini, kalau hangpa nak rugi, its really your choice. I am only a warner. Kalian terlalu jujur hingga tak dapat membezakan antara pelanggan tulen dan conman yang hanya mahu mempergunakan nama organisasi kita. Kita dah penat bercakap, seolah-olah tak dihargai. Mahu tak mahu, penulis dengan persetujuan boss dengan berat hati membiarkan mereka ni terbakar walau rentung sekalipun. Mudah-mudahan selepas terbakar rentung nanti, mereka ini dapat mengambil iktibar dan pengajaran dan kelak akan mendengar nasihat. Anyway, the Customer is ALWAYS right. Oh.. Okay, do it your way then. Seronok juga tengok sandiwara yang terjadi terutamanya bila ada projek yang dari awal kita dapat menjangka akan meletup … tiba-tiba meletus and kita hanya boleh bersimpati (sebab nak bergaduh pun tak guna, nanti depa kata kita ni banyak sangat persepsi) as “the Customer is ALWAYS right!”.

Rasulullah S.A.W telah dilaporkan bersabda:

“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama, masa sihat sebelum datangnya sakit. Kedua, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga, masa lapang sebelum tibanya masa sibuk. Keempat, masa muda sebelum datang masa tua, dan kelima, masa hidup sebelum tiba kematian.”

(Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)


Masa sakit telah sekian lama datang bertandang dan Ramadan tahun ini hanya beberapa kali walaupun niat itu ada dan dizahirkan kepada ahli keluarga (jujur : boleh dibilang dengan jari) kesempatan penulis untuk menunaikan solat terawih adalah terhad kerana masalah kesihatan dan sedangkan untuk tilawah Al Quran pula, hanya mampu sekadar membaca dan mengulang-ulang surah yang menjadi kegemaran dan menambah hafazan ayat-ayat, masa lapang kerap berselang-seli dengan masa sibuk – majoritinya dek kerenah klien (sabar ajelah), Alhamdulillah syukur, penulis bukanlah seorang yang kaya harta dan juga tidak pernah merasa jatuh miskin. Dari dulu diterapkan dengan sifat suka membaca, kaya & tak kedekut ilmu dalam bidang tertentu. Masa muda juga telah lama pergi meninggalkan diri ini dan penulis masih diberikan kesempatan dan ruang waktu menikmati kehidupan dan masih mempunyai masa untuk menambah bekalan amalan semampunya sebelum turun dari keretapi kehidupan yang membawa kita semua sebagai penumpangnya, apabila saat kematian menjemput pergi.

Penulis amat tertarik hari dengan kandungan ucapan Pemangku VP kami pagi tadi yang menekankan pentingnya kebersihan dan kesihatan HATI, dan antara yang boleh dikongsikan bersama di sini, beliau membawakan kisah rakan lamanya (yang baru ditemuinya semula setelah puluhan tahun terpisah arah) yang dahulunya terpaksa bertungkus-lumus kerana keperitan hidup tinggal di penempatan haram, tidak dapat bersekolah biasa kerana berkerja menampung perbelanjaan keluarga, menghadapi dugaan kematian ibubapa, sekadar dapat menghadiri kelas malam semata-mata untuk mencari ilmu, mengambil peperiksaan darjah 5, SRP dan SPM, universiti dengan banyak rintangan dan sehinggalah menyandang jawatan beliau sekarang. Insan tabah itu adalah tak lain tak bukan adalah Datuk Bandar Shah Alam sekarang ini!

Sudahkah anda berjaya meraih dan memanfaatkan kelima-lima masa tersebut?

No comments: