Monday, August 29, 2011

Kita adalah apa yang kita berikan

Dikala orang ramai telah sunyi meninggalkan kotaraya dan urusan kerja mereka dan mula berangkat pulang ke kampung halaman untuk menyambut hari raya bersama keluarga, penulis masih berada dipejabat menyiapkan beberapa tugasan.

Penulis teringat kepada senikata lagu yang pernah dipopularkan oleh Herman Tino yang berbunyi begini:

"Harta bukan milikmu,
Milik mu hanya rezeki,
terkurang kumpul lagi,
terlebih memberilah..."


Hakikatnya, kita hanya boleh memberi apa yang ada pada diri kita.

Seorang yang kaya harta, boleh memberi sedekah atau menginfakkan hartanya kepada orang yang memerlukannya dimana harta tersebut dapat dibelanjakan kepada jalan yang diredhai Allah. Apa yang diberikan itulah sebenarnya milik kita, bukan yang disimpan atau dipendam untuk diri sendiri dan pemberian tersebut akan dicatat dan digandakan berlipat kali ganda ganjarannya oleh Allah.

Seseorang yang ada padanya ilmu, dapat memberikan ilmu pengetahuannya dan menyebarkannya agar ianya dapat menjadi panduan yang berguna kepada orang lain.

Sementara seseorang yang mempunyai kejujuran dan keikhlasan dapat memberikan teladan kepada orang kerana kejujuran dan keikhlasan beliau.

Seorang hakim atau pemimpin yang adil dan telus tidak dapat memberikan yang lain kecuali keadilan dan ketelusan yang dibawanya.

Begitu jugalah terjadi kepada golongan yang mempunyai sifat mazmumah dalam dirinya. Waima seorang penzalim akan hanya memberikan kezalimannya kepada orang lain. Tiada yang selamat dari kezalimannya. Seorang yang pendusta akan hanya menjaja kedustaannya kepada khalayak ramai.

Ah... aku tidak ada harta untuk disedekahkan, komen seorang rakan - Tidak menjadi masalah. Bersedekahlah dengan senyuman anda, mungkin senyuman anda dapat memberi keceriaan kepada orang lain; tenaga anda mungkin dimanfaatkan untuk membantu orang yang lemah. Kepakaran anda dalam bidang-bidang atau ilmu tertentu juga boleh disumbangkan. Terlalu banyak ruang yang Allah berikan sebenarnya untuk kita melipatgandakan hasanat / amalan baik. Kalau anda merasa lemah dan tidak berkuasa untuk bercakap menegakkan yang hak atau memperkatakan tentang kebenaran, anda boleh menceburi bidang penulisan. Percayalah, mata pena sebenarnya jauh lebih tajam dari mata pedang - syaratnya mudah - mata hati mesti celik dan dipertajamkan terlebih dahulu dengan menuntut ilmu!

Cerminlah diri kita - kerana diri kita sebenarnya adalah apa yang kita berikan dengan ikhlas dan rendah hati kepada orang lain kerana Allah dan tidak mengharapkan balasan. Yakinlah, kelak Allah jualah yang akan membalasnya. Kerana itu istiqamahlan dalam memperbaiki diri kita agar diri kita menjadi lebih baik dari diri kita yang semalam.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri, semoga anda sekalian dimana juga anda berada diberkati Allah dan telah berjaya meraih "distinction" dalam menjalani amal ibadat sepanjang bulan Ramdhan tahun ini. Amin.

No comments: