Popular Posts

Wednesday, June 08, 2011

Karakter Berlian

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada besertanya: "Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).

Berlian, asalnya hanyalah karbon berwarna hitam bersifat lembut kerana atom-atomnya mudah tergelincir apabila semakin kuat mengalami tekanan bertambah kukuh dan kuat dan proses yang dialami berlian itu memakan masa yang sangat panjang, mencapai ribuan atau jutaan tahun lamanya menghadapi segala cubaan, tekanan dan haba kepanasan melampaui beribu darjah celcius. Akhirnya hablur yang terhasil sangat keras, menjadi bahan yang paling keras didunia dan mampu untuk memotong apa jua bahan lain, bukan hanya kepingan kaca, malah ianya digunakan sebagai mata gerudi dalam usaha carigali minyak dek amat teratur dan kerasnya struktur komposisi berlian.

Alhamdullilah, kita masih lagi berpeluang menikmati indahnya sinar suria yang menghiasi alam maya ini, masih berpeluang untuk menambah bekal amalan. Lokasi: Pantai Mutiara, Danau Singkarak, Sumatra Barat Nikon D40 18mm f10

Begitulah diri kita manusia, begitu kuat sekalipun tekanan yang kita hadapi sama menjalani kehidupan, pekerjaan atau apa saja yang kita laksanakan, jika kita bersabar dengan apa jua tekanan dan cabaran Insya Allah kita akan menunjukkan karakter berlian dalam diri kita. Ianya bukannya suatu yang mudah untuk dilalui. Kita mungkin akan merasa susah, akan timbul rasa kesal, sedih, sayu seolah-olah dunia ini dirasakan amat sempit sekali, merasa diri amat keseorangan menghadapai semua cabaran ini:

(Antara keluhan yang pernah diluahkan kepada penulis sebagai seorang sahabat/peguam)
  • ah! mengapa aku diuji dan menderita sebegini berat??
  • mengapa aku dianaiya oleh adik-beradik sendiri? Aku hanya mahukan bahagianku sahaja - bukan nak bolot semua harta peninggalan ayahku!
  • kenapa anak perempuan yang amat ku sayangi tak mahu mendengar nasihat malah meneruskan untuk bernikah dengan lelaki yang tak pernah kami kenali, malah tidak pernah bersua muka? Manakah perginya adab seorang anak? Nanti Allah tunjukkan semasa didunia ini bagaimana? (keluh seorang ayah)
  • mengapa isteri ku keluar dari rumah, meninggalkan ku dah tidak pulang-pulang?
  • Kenapakah aku menderita sakit kronik begini?
  • Gaji bulanan ku tidak dapat menampung kos sara hidup yang makin menggila naik!
  • Malang - aku punya banyak calon isteri, tapi tak memiliki sesen wang atau harta pun untuk menikah walau hanya seorang!!
  • Apa dosaku diberhentikan kerja?
  • Apa nak jadi hah! pihak pengurusan kata yang dalam slip gaji tu bonus, kemudian depa U-Turn jadi "advanced"... kena bayar balik!!!
  • Aku berlaku adil, jujur dan telus, mengapa kekasih hati yang akan ku nikahi berpaling?
  • Malangnya nasibku - Aku sudah berusia 40an...malu digelar mak dan abah sebagai ANDALUSIA ... (anak dara lanjut usia)
  • Dalam banyak kenderaan yang ada - kenapa kereta burukku juga yang dicuri orang!!!
  • Bekas isteri halau dan menghalang aku bertemu dengan anak-anak.....
  • Anak-anakku hilang tanpa kesan dilarikan bekas suami!!!!!!! aku amat merindui mereka.......
  • Apakah salah dan silapku - suamiku berkahwin lagi....
  • Aku duda, dia pun sama, duda gak - kenapa ko dengki nak kacau juga janda pilihan yang akan ku nikahi??
  • ibubapaku tidak merestui gadis pilihanku untuk dijadikan isteri!!
  • Bosan....kata kita nak menikah, sekejap setuju, sekejap U-Turn... please make up your mind!!!
  • pakcik dahulunya adalah rakan akrab ahli politik selatan tanahair, saban hari berpoya-poya menikmati kesenangan dunia bermain perempuan, mabuk ke sana ke mari, apabila ahli politik tersebut dijatuhkan, projek-projek ku habis lingkup, aku terheret sekali dan harta bendaku dilelong bank.... anak dan isteri tak menghiraukan aku lagi...janganlah ikut jejak langkah pakcik....
  • telah berpuluh tahun berlalu, namun pakcik tidak bisa melupakan bekas kekasih serta ahli keluarganya. Pakcik dapat tahu dia juga masih ingat kepadaku walaupun sudah berkeluarga... apakah salah kami hingga jadi begini?
  • anakku terjebak dengan dadah.... aku kesal aku tak memantau aktiviti dan pergaulan harian anakku!!!
  • Polisi jabatan, kalau salah - memang salah tersebut di "bin" kan kepada aku sedangkan aku tidak tahu menahu apa yang telah berlaku - manakah dia keadilan?
  • ibuku baru meninggal dunia, aku amat merinduimu ibu....
Bilakah datangnya pertolongan Allah????????????????????

Inilah antara cabaran yang dihadapi oleh anak Adam sebagai Khalifah Allah dimuka bumi ini. Ruangan masa yang diberikan dipentas dunia adalah amat singkat. Maka raihlah karakter berlian dengan mematuhi skema tatacara kehidupan yang disampaikan oleh Rabbul Alamin melalui Insan Utama, Nabi Muhammad S.A.W. sebelum kita turun dari pentas dunia yang fana ini. Kita semua adalah rakan-rakan seperjuangan penumpang dalam keretapi cahaya (masa) menuju perhentian terakhir - Kita tidak mengetahui bilakah masanya kita akan turun dari keretapi cahaya yang kita naiki bersama dan sampai ke destinasi akhir kita. Kelak esok kita akan dipertanggungjawabkan dengan apa jua perbuatan dan tinggalan kita semasa kita hidup.

Ujian datang tak kira masa - masa senang dan juga ketika susah. Hadapilah ujian semasa senang dengan bersyukur pada Allah yang Maha Esa dan ujian semasa kesusahan dengan sabar. Sedarlah wahai teman, bahawa apa pun ujian yang datang adalah sebenarnya rahmat Illahi yang bersifat tarbiyah bertujuan untuk menaikkan darjat kita di sisi Allah. Ianya juga adalah kafarah untuk menggugurkan dosa dan salah-silap kita dimasa lalu.

Trainer memberikan kesimpulan karakter berlian. Ketik gambar untuk membesarkannya.

Pilihan kita hanya ada dua. Buatlah pilihan yang tepat -
  1. memilih untuk menjadi umpama berlian semasa hidup kita didunia, tahan dan rela ditekan dan tahan dibakar sehinga berkilau menjadi berlian untuk meneruskan kehidupan yang kekal abadi dengan mengikuti syariahNya; atau

  2. memilih jalan selain dari apa yang disyariatkanNya - menganggap dan menyangkakan diri kita sejak azali lagi adalah berlian, tapi kemudiannya di akhirat kita dicampakkan kedalam Api Neraka yang tidak kunjung padam yang panasnya berganda-ganda dari api dunia!
Kepada Allah jugalah dipohonkan segala hajat dan keperluan. Sesungguhnya segala apa yang kita ada atau tiada dan diambil kembali daripada kita adalah juga merupakan ujian. Maka janganlah dicabut dari hati, kecintaan kita kepada Allah. Tanpa Allah dalam diri kita, hidup kita tidak mempunyai apa-apa makna.

No comments: