Popular Posts

Thursday, March 24, 2011

MENYAMBUT TETAMU TERAKHIR

Tahukah siapa tetamu terakhir yang akan mengunjungi kita? Tahukah anda tujuan ia menziarahi dan menemui kita? Apakah hajatnya? Ketahuilah! Ia tidak datang kerana mahukan hartamu atau kerana mahu menikmati hidangan lazat yang selalu kau perolehi setiap hari, dia datang tidak kerana untuk meminta bantuan darimu untuk membayarkan hutangnya atau meminta sokongan politik untuk projek yang mahu diusahakannya atau meminta bantuanmu untuk perkara yang tidak dapat diselesaikannya.

Tetamu itu datang untuk melaksanakan satu urusan yang amat penting yang engkau telah ditetapkan mempunyai kaitan dengannya. Seluruh penduduk langit dan bumi walau berkerjasama untuk menghalang misi tetamu ini nescaya akan gagal segala usaha mereka. Walau anda tinggal dalam benteng atau kubu yang serba canggih dan dikawal dengan alat pertahanan dan pengawalan yang ketat tidak akan dapat menahan kedatangan tetamu ini.

Ia datang tanpa memerlukan apa-apa izin, kebenaran atau perlu temujanji, tanpa undangan - tidak kira sama ada kamu sedang menikmati waktu lapang atau waktu sibuk, masa kamu masih kaya atau dalam kesusahan, masa kamu sihat ataupun sedang sakit, samaada kamu sedang bermusafir dinegara orang atau sedang berehat didalam rumahmu. Tetamu ini memiliki hati yang teguh dan tidak akan terpengaruh dengan rayuan tangismu atau boleh diberikan rasuah/sogokan untuk menangguhkan tugasnya untuk memberikan kesempatan masa bagimu. Tiada alasan boleh diterima oleh tetamu ini walau selogik akal sekalipun kononnya kamu memerlukan masa untuk menilai semula kehidupanmu dan agar kamu dapat membuka lembaran baru untuk memperbaiki catatan kehidupan dalam hidupmu. Padanya seluruh harta bendamu tidak bernilai apa-apa disisinya.

Ia hanya menginginkan dirimu saja, bukan orang lain! Ia mahui kesemuanya bukan separuh badanmu! Ia ingin membinasakanmu! Ia ingin kematian dan mencabut nyawamu! Menghancurkan raga dan mematikan tubuhmu! Dia lah malaikat maut!!!

Tahukah anda bahawa kunjungan Malaikat Maut merupakan sesuatu yang pasti? Tahukah Anda bahawa kita semua menjadi musafir di tempat ini? Sang musafir hampir mencapai tujuannya dan mengekang kendaraannya untuk berhenti dihujung destinasi? Tahukah Anda bahawa pusingan kehidupan hampir akan terhenti dan kenderaan usia sudah mendekati persinggahan terakhirnya? Sebahagian orang soleh mendengar tangisan seseorang atas kematian temannya, lalu ia berkata dalam hatinya, "Aneh, kenapa ada kaum yang akan menjadi musafir menangisi musafir lain yang sudah sampai ke tempat tinggalnya?"

Tahukah Anda bahawa kunjungan Malaikat Maut kepadamu akan mengakhiri hidupmu? Menyudahi aktivitimu? Dan menutup lembaran-lembaran amalmu? Setelah kunjungannya itu, kita tidak akan dapat lagi melakukan satu kebaikan pun. Tidak dapat melakukan solat sunat dua raka’at. Tidak dapat membaca satu ayat pun dari kitabNya. Tidak dapat bertasbih, bertahmid, bertahlil, bertakbir, beristighfar walaupun sekali. Tidak dapat berpuasa walaupun sehari. Tak upaya lagi untuk bersedekah meskipun sedikit. Tidak dapat melakukan haji dan umrah walaupun mempunyai banyak wang dan persiapan. Tidak dapat berbuat baik kepada kerabat atau pun tetangga. Suratan amalmu sudah berakhir dan engkau hanya menunggu perhitungan dan pembalasan atas kebaikan atau keburukanmu!!

Oleh itu, mana persiapanmu untuk menemui Malaikat Maut? Mana persiapanmu untuk alam kubur ketika menghadapi pertanyaan, ketika di Padang Mahsyar, ketika hari Hisab, ketika ditimbang di Neraca Keadilan Ilahi (Mizan), ketika diperlihatkan lembaran amal, ketika melintasi Sirat dan berdiri di hadapan Allah Al-Jabbar?

Bermuhasabahlah ke atas dirimu di saat masa lapangmu, fikirkanlah betapa cepat akan berakhirnya masa hidupmu, bekerjalah dengan sungguh-sungguh di masa lapangmu untuk masa sulit dan keperluanmu, renungkanlah -

pernahkah kita menyakiti hati dan perasaan orang lain?

pernahkah kita menganaiyai orang lain demi mementingkan kejayaan dan kesenangan diri kita sendiri?

Sedarkah segala tindakan kita akan dicatat di lembaran amal?

Di mana perginya janji-janji yang pernah kita buat yang tidak ditunaikan?

Di mana harta benda yang telah kita kumpulkan?

Untuk apa ianya dibelanjakan?

Apakah yang dapat menyelamatkan kita dari cubaan dan huru-hara itu?

Apakah kelak anak-anak yang kita didik mampu untuk mengirimkan bingkisan hadiah kepada kita, apabila kita berada didalam kubur kelak?

Apakah kau yakin dan pasti bahawa semua amal baik mu selama hidupmu ini diterima Allah - atau ada antaranya yang tertolak???


Jawablah pertanyaan-pertanyaan ini dengan jujur....semoga Allah memberikan rahmat dan keampunan untuk para pembaca dan penulis.

No comments: