Popular Posts

Monday, October 04, 2010

Jemputan Menjadi tetamu Allah

Surat tawaran telah kuterima dan ku balas melalui 2 media dalam jangkamasa tempoh untuk menjawab iaitu melalui:
1. faksimili; dan
2. e-mail berserta imbasan helaian jawapan yang telah sempurna diisikan;
dan pada setiap kali dokumen jawapan dihantar melalui faks, aku memastikan bahawa terdapat pengesahan ianya telah selamat diterima oleh pihak Tabung Haji (TH) melalui telefon kepada pihak TH.

Namun aku amat berdukacita kerana kemudiannya aku mendapat panggilan telefon dari pihak TH bahawa mereka kononnya
1. aku tidak menjawab tawaran dalam tempoh masa yang ditetapkan;
2. faks yang dihantar sebelum itu telah hilang/tersalah letak & tidak dapat dijumpai sama sekali.
3. Email yang aku hantar hanya boleh dibuka mukasurat 1 sahaja, kononnya mukasurat lainnya hilang secara yang amat misteri!

Oleh itu, aku diminta oleh pihak TH untuk membuat "RAYUAN" agar aku dibolehkan menjawab dalam diluar jangkamasa! Pelik betul. Setelah diamati, didapati bahawa imbasan dokumen tersebut tidak dibuka dengan cara yang sepatutnya. Memang la patut hangpa dapat tengok mukasurat pertama aje - tekanlah butang untuk melihat paparan mukasurat berikutnya! Haru biru blues betul!

Hari berganti hari ...aku tidak mendapat apa-apa jawapan, sedangkan aku adalah waris yang akan menjadi pengiring ayah yang telah disahkan tarikh penerbangannya! Tanpa aku sebagai pengiring, ayah akan mengalami kesulitan. Amat tidak masuk akal sama sekali. Mahu tak mahu atas desakan ayan yang bimbang dengan perkembangan yang tak memberansangkan ini mengesa aku ke HQ TH di KL untuk mendapatkan maklumat lanjut. Alangkah terkejutnya apabila didapati bahawa tiada apa-apa tindakan yang telah diambil oleh pihak TH untuk menyelesaikan perkara ini dan nama aku masih tidak disenaraikan sama sekali. Semuanya adalah lip service semata-mata dan HQ TH tidak tahu menahu kerana rupa-rupanya call/faks centre terletak di Taman Tun Dr Ismail dan maklumat tidak sampai ke HQ TH!

Maka dengan susah payah ayah yang seringkali mengadap TH Uptown mengadukan masalah kami, maka aku diarahkan untuk turut serta Kursus Haji Perdana di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Sabtu yang baru ini aku dan ayah sekali lagi berkunjung ke TH, kali ini untuk mengambil bag dan peralatan yang didermakan oleh badan korporat.

Setelah beratur hampir 40 minit, giliran ku pun tiba, dikhabarkan bahawa sistem untuk check senarai jemaah haji tak boleh diakses pada hari Sabtu/Ahad sebab sistem "down". Kena datang hari lain!. Jawapan ajaib ini membuatkan aku yang saban waktu diamanahkan untuk meneliti perjanjian penyelenggaraan IT berfikir : biasanya sistem tidak akan shut down terutama sekali masa kritikal seperti sekarang ini. (Ok takpe, aku bersangka baik... strike 1)

Maka aku serahkan passport kepada hamba Allah yang mengendalikan kaunter dan dinyatakan bahawa serahan passport, bukan di kaunter ini - encik kena pergi kaunter sebelah sana (wing kanan)... baiklah... kami pun berpecah, aku naik ke tingkat atas (rasanya tingkat 17) untuk mengambil bag sementara ayah yang terdengkot-dengkot bertongkat ke wing sebelah mengambil nombor untuk urusan serahan passport untuk tujuan membuat Visa Haji. Sampai sahaja ditingkat atas, setelah mengambil beg, aku melihat ramai ummat manusia beratur... apa hal ni?... oh untuk suntikan optional - H1N1 dan tah apa lagi tah... kosnya RM150-00 jelas seorang pegawai yang sibuk mengira wang dan menampal pelekat immunisasi pada kad kesihatan para bakal jemaah sambil duduk dengan selesa dikerusi empuk. Baiklah... cuma RM150-00 dan aku terus sahaja membuat bayaran. Permerhatian aku - rata-rata kesemua bakal jemaah adalah orang yang telah lanjut usia. Tiada sebarang kerusi disediakan. Ada bakal jemaah yang beratur sekejap duduk diatas lantai, sekejap bangun untuk ke bahagian depan... masing-masing menceritakan pengalaman mereka untuk sampai ke tahap ini. (Takpe aku masih bersangka baik.... strike 2)...

Dalam tak sampai 10 minit aku beratur, datang pula seorang hamba Allah mengedarkan risalah... apa la pulak ... oh tawaran penghantaran air zam-zam ker rumah pada harga RM135 setong 10 liter! Dah murah sangat dah ni bang, kata budak yang mengedarkan risalah. Setahu aku, kat Malaysia ni memang dah ada gudang menyinpan air zam-zam. Kalau nak kome pergilah ke restoran Nasi Arab di TTDI Jaya, Shah Alam - ada risalahnya disitu, siap ada no telefon hamba Allah yang memberikan pekhidmatan tersebut. kalau nak orde aje - RM90 untuk 1 tong yang berisi 10 liter. Otak business betul depa ni - sama juga dengan ruang legar ditingkat bawah TH Perdana... nak lalu pun sempit dengan barangan keperluan jemaah haji. Heran. (fikir punya fikir... Takpe sabar...aku masih bersangka baik.... strike 3)

Setelah selesai mendapatkan suntikan, aku pun turun dan mendapati bahawa giliran ku baru sahaja dipanggil dan kami mendapati kaunter tersebut memang tidak ada urusan penyerahan passpot! Dari dahulu lagi tak pernah urusan pasport dilakukan dibahagian ini, ini kerja wing sebelah sana jelas pegawai yang bertugas. Berubah wajah ayah... dengan keadaannya yang bertongkat dan berjalan terdengkot-dengkot ayah menggagahkan dirinya mendapatkan penjelasan - tadi cik kata urusan passort pergi ke sebelah sana, tapi wing sana kata dari azali lagi urusan serahan passport adalah tugas sebelah sini - kami dah tunggu 1 setengah jam ni - yang mana satu yang betul ni????? Minta maaf, kami baru mendapat arahan untuk terima passport sebentar tadi. (Nota : awal pagi itu aku mendapati ada notis tertulis dengan jelas : Wing kanan adalah untuk Urusan Jemaah yang belum mendapat surat tawaran, serahan passport dan pengesahan buku kesihatan).

(Takpe sabar...aku masih bersangka baik.... strike 4!!!!)
Aku tidak mengetahui cabaran camel apa lagi yang akan aku lalui sebelum dapat bertolak ke Makkah. Kalau Strike kali ke 5 - tah aku dapat sebungkus Lucky Strike kot??? (Pun intended).

Setakat ini sahaja untuk dikongsikan bersama.
Ya Rabb, permudahkanlah urusan kami. Amin.

No comments: