Popular Posts

Wednesday, March 31, 2010

Hikayat Satira Malim Kundang Moden

Batu Malim Kundang, Pantai Air Manis, Sumatera Barat.

Tragedi yang menyayat hati diabadikan dalam bentuk arca sebagai pengajaran untuk semua.

(Nota : kisah ini telah diolah semula oleh penulis - so don't take it seriously).

Menurut kata dusta sahibul hikayat, alkisah hidup dua orang anak beranak, Malim Kundang dan ibunya Mande Rubayah di sebuah kampung nelayan yang terletak di Pantai Air Manis, Sumatera Barat. Mereka menjalani kehidupan yang serba-serbi kekurangan, kais pagi dapatlah mereka makan tengah hari, kais petang, merasalah deme makan malam. Mande Rubayah sangat menyayangi anaknya yang dijaga dan diasuh dengan penuh kasih sayang.

Malim Kundang membesar dibawah asuhan ibunya menjadi seorang lelaki dewasa yang tampan lagi macho (Nota: perkataan "macho" di sini adalah bahasa inggeris dan bukan bermakna ikan bilis/ikan teri menurut dialek urang minang). Demi mengubah nasib dan perjalanan hidupnya, Malim Kundang memohon keizinan daripada ibunya untuk pergi meracau… eh bukan… merantau. Berat hati rasanya Mande Rubayah untuk melepaskan anak teruna buah hati pengarang jantung pisangnya yang seorang itu. Demi melihat kesungguhan Malim Kundang, Mande Rubayah bertanya, apakah cita-cita hasratmu wahai anakku? Jawab Malim Kundang, Ibu, ambo berhasrat untuk mengaleh burger di Kampung Baru dan seterusnya menjadi hartawan besar dengan menguasai franchise burger … di Semenanjung Tanah Melayu dan tidak lupa juga kepada cita-cita sampinganku.. berguru dengan ahli gusti professional…di sana… kalau tak pun, cukuplah dapat menonton Sports Channel pun jadilah.. mendengar jawapan itu, Mande Rubayah yang tidak memahami apa itu "franchise" ataupun "burger"..mengizinkan permintaan anaknya - syaratnya, jika pulang nanti jangan lupa anakda belikan bonda hot dog! Dengan menumpang sebuah bot pukat tunda, Malim Kundang pergi merantau. Hari berganti minggu. Minggu pun berganti bulan dan bulan pun berganti tahun. Masa berlalu pantas tanpa apa-apa khabar berita dari Malim Kundang. Mande Rubayah telah begitu memendam rindu. Ke manakah kiranya anakku pergi meninggalkan bonda seorang diri? Sedap bebenor ka burger yang anak ku usahakan? getus hati seorang ibu yang amat merindukan anaknya dan juga hot dog yang dipesan. Setiap hari, Mande Rubayah tidak lupa untuk mendoakan keselamatan dan kejayaan anaknya. Setiap malam pula mande Rubayah bermimpi terbau-bau hot dog idamannya..

Tersebar khabar kononnya, Malim Kundang telah berjaya memiliki rangkaian franchise perniagaan burger dan telah menikah dengan seorang gadis, puteri seorang hartawan franchise burger yang kaya raya, namun malang sekali, tidak satu pun khabar berita diutuskan kepada Mande Rubayah, ibunda Malim Kundang. Apakah gerangan sebabnya, Malim Kundang tak memberi apa-apa khabar kepada bonda?" Masih slow sangat ke broadband berkelajuan tinggi di Semenanjung Tanah Melayu itu? rintih hati Mande Rubayah berkata sambil mematikan netbook terpakai yang baru dimilikinya.

Pada suatu hari, tersiar khabar melalui Facebook dari sebuah Warnet (warung internet) bahawa sebuah kapal besar telah tiba dan berlabuh dipantai dekat kampung tempat Mande Rubayah tinggal. Ramai orang kampung dari jauh dan dekat berpusu-pusu datang ke pantai untuk melihat dengan mata kepala deme sendiri kapal (namanya pun pelik.. apa dia,,, sekerap?.. hakerap?… oh.. hovercraft!!) megah dan indah itu. Kelihatan dari jauh sepasang muda-mudi berdiri di geladak hovercraft berpakaian indah seperti seorang nakhoda berbaju putih tampak handsome giler macam hulubalang Steven Seagal dalam filem "Under Seige". Kelihatan amat tampan dan gagah disamping seorang wanita cantik .. macam huh….err… tak berpakaian… pakaian apa kayak gini?… oh sebutnya … bikini!!!. Kalau tak salah, dari pemerhatian orang kampung yang bagaikan juling matanya melihatkan pakaian sendat wanita yang solid molid sedemikian rupa. Lelaki macho yang menjadi nakhoda hovercraft yang indah tersebut tidak lain tidak bukan adalah si Malim Kundang dan berkemungkinan wanita cantik seakan tak cukup kain yang berdiri disebelahnya adalah isterinya. Maka tersebar khabar bahawa Malim Kundang kini telah menjadi seorang nakhoda hovercraft dan peniaga burger yang berjaya dan mempunyai harta yang melimpah ruah dan isteri yang .. seksi meksi bagaikan pelakon Baywatch. Rindu yang tak terbendung memberikan kekuatan pada tubuh tua dan layu Mande Rubayah yang kini uzur, rambutnya sudah habis memutih, tangannya bergetar memegang tongkat aluminium berspring bagai nak pergi hiking itu agar tidak jatuh rebah dan dia berjalan terdengkot-dengkot menghala ke pantai kerana amat merindukan anaknya itu. "Malim, apakah benar kau sudah pulang bersama hot dog yang ku pesan… kaukah anakku Malim, Malim…rupamu handsome bagai pelakon bollywood … .Ibu amat rindu padamu?" mata Mande Rubayah dibasahi air deras panas.

Setelah mendekati pantai dan menghampirkan diri dengan jeti dimana hovercraft megah itu berhenti berlabuh, kelihatan seorang berwajah tampan sedang mengarahkan anak buahnya menurunkan barang-barang dagangan berkotak-kotak dvd cetak rompak dengan menggunakan peralatan hydraulic (tergeliat lidah penduduk kampung nak menyebutnya) – maka tampak oleh sang ibu tua tersebut bahawa kata orang kampung adalah benar – itulah anaknya yang selama ini pergi merantau ke negeri orang, bukan sahaja menjadi nakhoda kapal tetapi merangkap lanun cetak rompak juga! Mande Rubayah tidak dapat menahan perasaan rindu dendam yang teramat sangat dan terus berlari 100 meter seperti dalam filem hindustani dan dengan erat dan mesra memeluk tubuh Malim Kundang yang juga amat terkejut melihat kehadiran ibunya – namun, belum sempat si anak dan si ibu bertegur sapa melepas rindu, isteri seksi Malim Kundang, tanpa mengenalkan dirinya terus mencaci ibunya, "Inikah ibumu! Kau telah kantoi … kau bohong pada kita selama ini. Katamu ibumu itu orang yang sekufu dengan kita persis Marlon Brando… eh bukan-bukan…. Maryln Monroe. Ternyata ibumu seorang yang tua … miskin hina pulak tu!"

Setelah mendengar kata-kata isterinya, Malim Kundang merasa terkejut dan malu teramat sangat. Serta merta dengan gaya "reverse powerslam" yang dipelajarinya, dihempaskan tubuh perempuan tua yang disedarinya adalah ibunya sendiri, sehingga Mande Rubayah yang kempunan nak merasa hot dog "tergolek dog" ke gigi air.

"Wahai perempuan tua, kau ini bukan ibuku! Ibuku adalah seorang saudagar pasar yang kaya yang cantik rupawan…walaupun body macam tempayan.. dan tidak seperti dirimu itu seorang perempuan tua yang miskin lagi hina!"

Hancur luluh bagai kaca terhempas ke batu hati Mande Rubayah mendengarkan ucapan anak yang dirinduinya itu. Amat perit sekali rasanya dihati. Orang-orang kampung yang terut menyaksikan peristiwa itu amat terkejut dan terkesima tidak terkata dan merasa kasihan melihatkan keadaan Mande Rubayah tergeletak di atas pasir terkena "reverse powerslam" anaknya sendiri. Sukar untuk mempercayai bahawa Malim Kundang sanggup untuk memperlakukan sedemikian kepada ibunya. Malim Kundang dengan suara yang keras lantang terus mengarahkan anak kapal dengan segera menaikkan sauh dan meninggalkan kampung nelayan itu pada kadar segera. Mande Rubayah dalam keadaan jatuh tertirap dan menangisi perlakuan anaknya menatap kepemergian hovercraft megah milik Malim Kundang yang sedang meluncur seolah-olah terapung menari diatas ombak, pergi menjauh dengan perasaan hiba. Anak tunggal harapannya yang selama ini dibesarkan dengan susah payah dan penuh kasih sayang bagai menatang minyak petroliam yang makin mahal harganya dipasaran dunia, bukan sahaja telah melupakan dirinya, bahkan telah secara terang-terangan melebihkan isterinya dan menyakiti hatinya.

Dengan hati yang pedih Mande Rubayah yang tidak lagi dapat menahan kesabarannya lalu menadahkan kedua tangannya ke hadrat Illahi dan berseru:

"Ya Allah, jika dia bukan anakku, aku maafkan perbuatannya, namun jika dia benar Si Malim Kundang, anakku yang juga lanun cetak rompak…maka aku sumpah jadi katak!... eh eh tersilap skrip.... aku mohon padamu, kerana hatinya sudah mengeras seperti batu. Maka jadikanlah dia batu sebenar-benar batu!"

Serta merta itu juga, laut menjadi bergelora - langit yang tadinya cerah disinari sang suria tiba-tiba menjadi berubah menjadi hitam pekat likat dan melekat. Badai terhempas ke laut dan petir saling sabung-menyambung seolah-olah mahu membutakan penglihatan selah-olah pahlawan satria si Penjejak Awan dan si Penjejak Badai sudah muncul berjuang. Bertempiaranlah lari kesemua orang kampung yang berada di tepian pantai menyelamatkan diri. Di tengah laut kelihatan ombak besar serta puing-puing air berpusar ligat seolah-olah air laut dan langit kini bercantum menjadi satu - bergerak laju umpama dinding air yang tinggi melanda hovercraft yang dinaiki Malim Kundang yang kini terkandas ditengah laut… Terdengar teriakan yang dibawa deruan angin "Ibuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuu…………..anakda tersalah move… sepatutnya demonstrate kasi "bear hug" aje…" Hovercraft yang malang tersebut seolah-olah mainan anak-anak dan melambung tinggi, musnah dan hanyut ke tepian pantai.

Ketika badai reda, orang-orang kampung datang ke tepi pantai. Mereka dengan hati yang hiba melihat kepingan-kepingan hovercraft megah Malim Kundang bertaburan. Berhampiran dengan sebuah bukit kecil di tepi pantai terdampar sebongkah batu sebijik rupanya seperti bentuk manusia dalam keadaan tertirap seolah-olah melaksanakan jatuhan "pin" kemenangan. Mereka mengatakan itulah jelmaan Malim Kundang yang telah disumpah ibunya menjadi batu dek tergilakan sangat menonton wrestling. TAMAT.

(Nota : harap maaf : kisah digubah sedemikian rupa kerana kisah ini sebenarnya, amat menyayat hati).

Serious part - diantara hiburan dan pengajaran:

1. Wahai ibu-ibu, jagalah lisan anda dalam mendidik anak-anakmu.
2. Mendoakan agar ditimpakan keburukan kepada seseorang bukanlah sesuatu yang patut dicontohi.
3. Balaslah keburukan dengan kebaikan.
4. Jangan jadi lanun cetak rompak, nanti kena sumpah jadi katak.
5. Jangan percaya sangat kisah dusta sahibul hikayat!


Nota: Imej dirakamkan oleh penulis sendiri dalam format RAW pada 12/02/2010 Nikon D60 mengunakan prime lens Nikkor 35mm dan kemudiannya diolah menggunakan perisian Gimp 2.6 dan Photoscape (untuk mendapatkan tindanan arca). Jalan cerita diolah semasa penulis bosan menunggu meeting yang tak kesampaian, Mac 2010)

No comments: